Kuala Lumpur, 22 September 2023 , 10.03 pagi-KEJADIAN merempuh seorang anggota Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson pada 17 September lalu telah mengakibatkan penunggang tersebut dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Majistret semalam.

Penunggang motosikal tersebut yang dikenali sebagai Nor Khairul Azwa Azizi, 25 tahun, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca dihadapan Majistret, Uthman Abd. Ghani. Nur Khairul Azwa juga diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 3 bulan sekiranya gagal membayar denda yang telah diperintahkan oleh mahkamah kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan, bekas pengawal keselamatan itu dengan sengaja telah menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa JPJ daripada menjalankan tugas di lokasi kejadian pada 17 September lalu kira-kira pukul 11 pagi. Oleh yang demikian, Mahkamah Majistret telah mendapati bahawa Nor Khairul Azwa bersalah dan boleh dijatuhkan hukuman dibawah seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuan kepada mahkamah, Nor Khairul memohon agar mahkamah dapat mengurangkan jumlah denda yang dikenakan kepadanya memandangkan Nor Khairul mempunyai tanggungan seorang isteri yang sedang hamil dan seorang anak. Lebih malang lagi Nor Khairul kini telah menjadi penggangur kerana dia telah diberhentikan kerja oleh majikannya.

Sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya dan juga sebagai pengajaran kepada yang lain agar tidak menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Pada masa yang sama Nadia Ezzati turut memohon mahkamah untuk mengambil kira kecederaan yang dialami oleh anggota JPJ terbabit.

Pada 17 September yang lalu, media melaporkan kejadian seorang penunggang motosikal merempuh seorang anggota penguatkuasa JPJ, Muhammad Nur Hakim Mohd Razip, 29, yang pada ketika itu bertugas dalam operasi sekatan jalan raya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson yang turut tular di media sosial. Susulan dari rempuhan itu, anggota JPJ tersebut telah dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk mendapat rawatan sebagai pesakit luar. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed memberitahu, tertuduh turut mempunyai lapan rekod membabitkan dadah dan jenayah, selain tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan tamat tempoh sejak 2012.

#PrezCom