Kuala Lumpur, 20 September 2023, 14:34 – REAKSI positif yang baik terhadap dasar dan kerangka cadangan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2023 telah ditunjukkan oleh Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara selepas satu taklimat tentangnya dibuat semalam, jelas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Memetik ucapan beliau lagi, “Seterusnya rang undang-undang ini dapat melaksanakan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Secara jelas memartabatkan Institusi Parlimen Malaysia yang bebas daripada bendungan Cabang Eksekutif Kerajaan.” – BERITA HARIAN ONLINE

“Insya-Allah kami berharap agar rang undang-undang ini dapat dibentang pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini dan sesi taklimat pada malam tadi memberi peluang kepada Ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk mendapatkan maklumat awal supaya memberi kerjasama dalam urusan pembentangan, laluan dan bahasan rang undang-undang ini nanti di dalam Dewan masing-masing,” katanya – BERNAMA

Sebagai tambahan, Wan Junaidi memberi ucapannya pada 29 Ogos lepas berkata bahawa pelaksanaan pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah berada di peringkat kedua bagi proses merangka kertas kerja kabinet untuk mendapatkan persetujuan Majlis Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat oleh Pejabat Peguam Negara untuk diedarkan kepada semua kementerian dan agensi yang berkaitan sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri.

Berkesinambungan daripada perkara di atas, melalui ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mac lalu berkata, RUU tersebut adalah hasil usaha oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara. Menurut beliau lagi, penggubalan Akta Perkhidmatan Perlimen ini penting dalam memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara Badan Perundangan dan Badan Eksekutif.

Terdahulu, Akta Perkhidmatan Parlimen ini telah diperkenalkan pada 1963, namun dimansuhkan pada 1992. Ia pada awalnya dibuat bagi memberi laluan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaan.

#PrezCom