
Kuala Lumpur, 20 September 2023, 19:20 – BERLAKU kekecohan sewaktu penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat semalam. Insiden berlaku apabila Ahi Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin bangun meminta Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan yang didakwa oleh Datuk Radzi sebagai sangkaan jahat.
Dalam masa yang sama ahli dewan daripada pihak pembangkang yang menyebelahi Radzi turut mempertahankannya untuk membuat desakan supaya Ahli Parlimen Tambun iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik kembali kenyataannya berhubung perkara itu.
Berikutan kekecohan tersebut, Speaker Dewan Rakyat iaitu Datuk Johari Abdul meminta Anwar memberi penjelasan yang sewajarnya sambil meminta semua ahli dewan duduk dan bertenang supaya penggulungan dapat diteruskan.
Berlaku perbalahan di antara Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) apabila Anwar mengeluarkan kenyataan membabitkan Radzi. Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, “Awak boleh gelak Putrajaya kerana awak buat perkara itu, masa pentadbiran awak buat kerja itu,” kata Anwar.
Ekoran daripada kenyataan Anwar itu, Radzi dengan segera bangun untuk mempertahankan dirinya yang mana ia melibatkan maruah beliau. Radzi membalas kenyataan Anwar dengan mengatakan beliau faham peraturan dewan tapi dalam masa sama, dewan inilah yang kita gunakan untuk tegakkan keadilan pada rakyat. Radzi teruskan pendiriannya meminta Anwar untuk menarik kembali kenyataannya.
Radzi secara berterusan meminta keadilan bagi pihaknya dan mendesak Johari agar meminta Anwar menarik balik kenyataan itu. Bagaimanapun Johari menjawab bahawa Anwar telah memberi penjelasan yang sewajarnya dan meminta semua ahli dewan duduk untuk memberi laluan penggulungan diteruskan.
Radzi menunjukkan rasa tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Johari lalu menjawab dengan mengatakan “Kalau lihat rekod saya dalam dewan, saya seorang yang sopan dan amat mematuhi peraturan. Apa yang saya minta sangat jelas, supaya Perdana Menteri tarik balik kenyataanya. Kekecohan berlarutan lebih setengah jam apabila pemimpin-pemimpin pembangkang turut bangkit mempertahankan Radzi.
Disebabkan rasa tidak puas hati yang berlarutan dan keengganan Radzi untuk memberi laluan kepada sesi penggulungan akhirnya menyebabkan Johari membuat keputusan memintanya keluar dewan. Dewan menjadi bertambah panas apabila kesemua pemimpin pembangkang sepakat keluar dewan bersama Radzi demi semangat setia kawan dan juga demi menjaga maruah sahabat di dalam blok pembangkang.
#PrezCom