Gambar oleh Associated Press AP
Kuala Lumpur, 19 September 2023, 10.30 pagi.
TIMBALAN Presiden Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu State-Government 4 (SG4) adalah tepat. Pelantikan Tun Dr Mahathir itu perlu dipandang baik oleh semua pihak termasuk kerajaan. Tinggalkan perkara yang lepas dan lupakan perseteruan politik negara yang berlarutan sekian lama. Cadangan Datuk Zuraida itu adalah bertujuan menjadikan Tun Mahathir sebagai penghubung di antara 4 negeri yang ditadbir oleh PAS iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis dengan pelabur seperti negara Jepun dan Korea Selatan yang dilihat mempunyai hubungan yang baik dengan Tun Mahathir.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Datuk Zuraida berkata, menjadikan Tun Mahathir sebagai penghubungan bukanlah mempunyai agenda politik disebaliknya tetapi adalah untuk mendapat akses kepada pelaburan negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan yang dipercayai akan memberi impak positif kepada pembangunan negeri-negeri tersebut.
Walaupun Tun Mahathir tidak lagi bergelar Perdana Menteri Malaysia, namun pengaruhnya diperingkat antarabangsa masih lagi kuat dan dihormati oleh pemimpin negara lain. Beliau masih lagi mempunyai hubungan erat bukan sahaja dengan negara-negara maju di Asia tetapi juga dengan negara-negara Eropah, Arab, Afrika dan juga Amerika Latin,” kata Datuk Zuraida semalam.
Pada Khamis lalu, Menteri Besar Terengganu Ahmad, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis kini dalam proses membentuk kumpulan empat negeri dengan Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat tidak rasmi. Dalam pada itu, Datuk Zuraida menyelar beberapa pemimpin di dalam kerajaan yang dilihat menyambut negatif pengumuman Menteri Besar Terengganu itu untuk melantik Tun Mahathir sebagai penasihat kepada empat negeri terbabit.
Menurut Datuk Zuraida lagi, pengalaman Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia sebanyak 2 kali dan juga ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin yang terkenal di dunia sewajarnya dipandang baik dan penting dalam merangka polisi ekonomi negeri yang ampuh, tetapi juga dalam menganalisis senario politik dunia yang semakin kompleks.
Pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) sudah pun berlalu dan seharusnya pemimpin-pemimpin di dalam parti politik tanah air dan pemimpin-pemimpin di dalam kerajaan duduk bersama untuk mencari jalan bagi memperbaiki ekonomi negara terutama selepas seluruh dunia dilanda Covid 19 yang menyaksikan lumpuhnya ekonomi dunia dan kehilangan nyawa yang begitu banyak.
#PrezCom