WARGANEGARA PERLU DIUTAMAKAN DALAM MENDAPATKAN BERAS PUTIH TEMPATAN, BUKAN WARGA ASING.

Kuala Lumpur, 18 September 2023, 4.50 petang.

MEMANDANGKAN kekurangan beras putih tempatan di negara kita kini, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh tetap dengan cadangan beliau untuk tidak membenarkan warga asing membeli beras putih tempatan walaupun mendapat kritikan daripada beberapa orang individu ternama di Malaysia. Menurut Akmal, “Warga tempatan perlu diutamakan untuk memiliki beras putih tersebut berbanding warga asing kerana ia amat berkurangan di dalam pasaran negara. Warganegara perlu diutamakan dahulu.”

Cadangan Dr. Akmal itu dikritik oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin yang menyifatkan ia sebagai mendiskriminasikan pekerja asing. “Walaupun pekerja asing turut menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi tanggungjawab dan komitmen mereka dengan rakyat Malaysia jauh berbeza,” kata Dr. Akmal dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Dr. Akmal berkata, “Warga asing tidak mempunyai beban hutang pinjaman rumah dan kereta seperti rakyat tempatan disamping mempunyai tanggungjawab yang lain untuk keluarga. Pekerja asing tinggal rumah sewa ramai-ramai, makan secara berjemaah. Jika beras tempatan ini berlambak di pasaran tiada masalah, tetapi hari ini nak beli pun susah malah terpaksa berebut dengan mereka.”

Menurut Dr. Akmal lagi, ‘’Pemimpin negara kita memikirkan masalah sebenar rakyat, tetapi tauke besar hanya memikirkan keuntungan dan paling penting barang mereka habis dijual kepada sesiapa sahaja. Dengan tidak menjual beras tempatan kepada warga asing buat masa kini, sekurang-kurangnya boleh mengurangkan bebanan awal ketika krisis ini berlaku.”

Siapa yang perlu disalahkan dalam masalah kekurangan dan ketiadaan beras putih tempatan ini? Adakah kerajaan atau rakyat? Pihak mana yang perlu dipertanggungjawabkan?

#PrezCom