Kuala Lumpur, 18 September 2023, 9.00 malam.

Tular di media sosial mengenai seorang penghantar makanan di mana motosikal yang digunakan untuk bekerja telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan akibat daripada lesen dan insurans telah pun tamat tempoh. Kisah ini patut dijadikan iktibar kepada masyarakat terutama kepada sesiapa yang menggunakan kenderaan seratus peratus untuk menjalankan tugas.

Terdapat masyarakat yang berasa kasihan dengan pemilik motosikal itu dan tidak kurang juga yang mengkritik dirinya kerana tidak menjadikan lesen dan insurans motor sebagai satu perkara yang wajib ada pada setiap penunggang motosikal. Tambahan pula motosikal yang ditunggangi itu merupakan kenderaan utama untuk mencari rezeki.

Masyarakat yang membaca kisah ini di akhbar tempatan dan di mana-mana media cetak tidak perlu cuba untuk menjadi hakim dengan begitu cepat menjatuhkan hukuman samada ia benar atau salah kerana hanya pihak JPJ yang sahaja yang tahu mengapa motosikal milik penunggang itu disita.

Masyarakat perlu mengkaji bahawa setiap perkara yang menyebabkan penyitaan tentu sekali disebabkan motosikal yang ditunggangi tidak mempunyai lesen atau cukai jalan ataupun insurans. Jadi, di dalam kes penghantar makanan ini, pihak JPJ tidak boleh disalahkan kerana menyita motosikal itu.

Selepas kes tersebut tular secara meluas di media sosial ramai menganggap bahawa JPJ bertindak bagai tiada hati perut terhadap penghantar makanan itu. Berbagai tomahan dilemparkan kepada pihak JPJ tanpa mengetahui perkara sebenar.

Secara umumnya rakyat yang mempunyai kenderaan tentu tahu bahawa lesen motor untuk setahun hanya bernilai RM30, cukai jalan dan insuran paling murah RM125 untuk setahun jika cc di bawah 150. Menurut pihak JPJ, penyitaan yang dilakukan adalah demi menjaga keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insuran.

Dalam mencari rezeki dengan menggunakan motosikal, penunggang bagai memperjudikan nyawa ditengah-tengah jalan raya yang sesak dengan berbagai kenderaan. Sekiranya berlaku kemalangan tanpa mempunyai lesen, cukai jalan dan insurans maka sebarang tuntutan amat susah untuk dibuat atau tidak akan mendapat apa-apa pampasan langsung disebabkan 3 perkara tersebut tidak ada pada pemilik kenderaan.

Bekerja sebagai penghantar makanan perlu mengejar masa dalam menepati permintaan pelanggan. Pada masa yang sama mendapat banyak pesanan daripada premis-premis makanan untuk meraih banyak pendapatan. Tetapi itu bukan alasan untuk para penunggang mengabaikan tentang keselamatan diri mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

Memang ramai yang berasa simpati kepada penghantar makanan yang menghadapi banyak masalah sejak kebelakangan ini. Ada beberapa individu yang sanggup mengeluarkan belanja untuk membeli motosikal baru untuk diberi kepada penghantar makanan ini. Persoalannya di sini mengapa individu tersebut membeli motosikal baru untuk penghantar makanan tersebut? Mengapa tidak membantu untuk menyelesaikan bayaran saman, dan memperbaharui lesen serta insurans? Itu lebih baik.

Soal keselamatan dalam menjalankan pekerjaan adalah salah satu perkara yang paling penting untuk ditekankan oleh setiap daripada kita. Jangan ambil mudah. Hendaklah diingat bahawa keselamatan bukanlah sesuatu yang diperoleh setelah mati.

#PrezCom