Kuala Lumpur, 17 September 2023, 11.00 malam.
Pada 13 September lalu, pegawai khas Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri telah membuat laporan di Balai Polis Manchis atas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka iaitu Shahril Azman Abdul Halim memainkan sentimen 3R di akaun TikTok pemimpin PAS itu. Ahmed Wafiuddin mendakwa Shahril Azman membuat kenyataan yang menyentuh hak Bumiputera selain turut menyentuh nama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan DAP. Beliau juga mendakwa terdapat video yang menunjukkan Shahril Azman yang sedang berkempen di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Shahril Azman telah mengesahkan bahawa beliau telah dipanggil oleh pihak polis mengenai perkara itu yang mana beliau didakwa memainkan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) di akaun TikTok baru-baru ini. Shahril berkata, laporan polis adalah perkara biasa yang dilakukan oleh musuh politik dan ia sekadar untuk menakutkan PAS serta Perikatan Nasional (PN) Pahang dan pada masa yang sama beliau mengakui telah dipanggil pada jam 5 petang dan telah menemui Pegawai Penyiasat di Balai Polis Manchis, Bentong untuk membantu siasatan ke atas dakwaan yang dikenakan ke atas dirinya.
Menurut Shahril lagi tindakan yang dikenakan terhadap dirinya tidak akan menggugat PN untuk terus memberi kefahaman kepada rakyat dan mereka akan terus berlawan dengan DAP, PH (Pakatan Harapan) serta BN (Barisan Nasional),” katanya ketika dihubungi pada hari Ahad yang lalu. Dalam kempennya itu, Shahril telah menjelaskan kepada orang Melayu tentang bahayanya doktrin Malaysian Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan dan dasar perjuangan DAP. Namun dengan sokongan yang diberikan oleh UMNO dan PKR, DAP telah berjaya mengukuhkan kedudukan sehingga menjadi kerajaan.
Shahril berkata lagi, sebagai wakil rakyat beliau berhak untuk memberi penjelasan kepada masyarakat serta amaran tentang bahaya konsep Malaysian Malaysia yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Di dalam Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) tercatit hak keistimewaan orang Melayu dan ia bertentangan dengan konsep sama rata semua kaum yang diperjuangkan DAP. Shahril Azman turut menjelaskan konsep sekular yang cuba diterapkan DAP adalah bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan kerana ia selalu dicabar oleh ahli DAP dan pemimpin mereka. Shahril yakin bahawa beliau tidak melanggar mana-mana undang-undang negara di dalam kempennya dan ia selaras dengan prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara dalam perlembagaan,” katanya.
Berikutan kematian ADUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya akan berlangsung pada 7 Oktober dengan hari penamaan calon pada 23 September manakala hari pengundian awal ialah pada 3 Oktober ini.
Susulan kekosongan kerusi ADUN Pelangai, semua parti politik sedang bekerja keras untuk memenangi kerusi tersebut. Berbagai janji dan tidak kurang kritikan pedas dibuat oleh setiap calon daripada parti politik yang bertanding untuk mengambil hati rakyat di kawasan itu.
Penganalisis politik daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata, penggunaan isu 3R (kaum, agama, raja) oleh orang politik untuk meraih undi perlu dihentikan sebelum memuncak ke tahap yang amat berbahaya terutama dalam keadaan politik semasa menjelang pilihan raya apabila pengundi Melayu dikatakan adalah pembuat keputusan atau ‘king maker’. Beliau berkata, sebarang usaha menarik hati pengundi Melayu menggunakan isu 3R akan menyebabkan masyarakat di negara ini terbelah kepada dua kumpulan besar.
Ia akan membentuk kumpulan pengundi Melayu dan pengundi bukan Melayu atau pengundi beragama Islam dan pengundi bukan Islam. Ini amat merbahaya sekali kalau kita lihat bentuk masyarakat kita pada ketika ini. Oleh kerana itu, kerajaan dikatakan akan mengambil tindakan tegas. Kerajaan boleh sahaja menggunakan isu itu tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab sewajarnya ia tidak memberi manfaat kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir kepada mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R terutama ketika menghadapi pilihan raya. Beliau dilaporkan berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana individu tanpa mengira pangkat, kaum, atau agama yang sengaja mencetuskan isu itu hingga membawa suasana tidak harmoni.
#PrezCom