Hotel Bajet di Kota Bharu Dijadikan Transit Pendatang Tanpa Izin.

Gambar hiasan.

 

Kuala Lumpur, 17 September 2023, 3.00 petang.

Sepasukan Pegawai Imigresen daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya dan Kelantan telah menyerbu sebuah hotel bajet di Kota Bharu, Kelantan yang dipercayai menjadi rumah transit pendatang asing tanpa izin (PATI). Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata serbuan jam 10.20 pagi pada hari Rabu yang lalu telah berjaya membongkar lokasi tersebut berkemungkinan menjadi tempat sementara untuk pergerakan seterusnya pendatang asing ke lokasi lain.

Dalam serbuan yang dinamakan Ops Gelombang V itu, pasukan Imigresen telah menahan 51 PATI terdiri daripada 39 lelaki dan empat wanita warga India, dua lelaki Pakistan serta dua wanita dan empat kanak-kanak lelaki warga Thailand berusia antara dua hingga 60 tahun. Selain itu, lima ahli sindiket yang juga warga tempatan terdiri daripada pemilik hotel bajet, dua penjaga premis dan dua pengangkut (transporter) berusia antara 23 hingga 57 tahun turut ditahan.

Turut dirampas adalah wang tunai sebanyak RM5300, 42 pasport India dan empat kenderaan terdiri daripada kereta sedan dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan untuk membawa PATI ke lokasi transit berkenaan. Ruslin berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup PATI terutama warga India yang memasuki negara ini melalui negara jiran dengan menggunakan laluan haram di sempadan dan sindiket itu dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan menyasarkan PATI berasal daripada India yang mahu memasuki negara ini untuk merebut peluang pekerjaan secara haram.

Siasatan awal mendapati, setiap seorang PATI dikenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000. Mereka akan diangkut oleh pengangkut tempatan dan akan dikumpulkan di rumah transit sebelum dihantar ke lokasi yang telah ditetapkan. Semua PATI yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Tanah Merah, manakala lima lelaki tempatan terbabit direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Menurut Datuk Ruslin Jusoh, dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, Jabatan Imigresen Malaysia akan membanteras habis-habisan sindiket penyeludupan manusia ini. “Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

#PrezCom