Atlet Malaysia Galas Harapan Rakyat di Sukan Asia 2023.

Gambar oleh REUTERS/Florence Lo

 

Kuala Lumpur, 17 September 2023, 6.00 petang.

Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Asia 2023, Profesor Madya Dr. Farrah Hani Imran berkata, atlet yang menggalas cabaran dalam mengharumkan nama Malaysia seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk berjuang memburu keputusan terbaik. Dr. Farrah Hani meminta supaya atlet tidak mengambil kesempatan walaupun tiada sasaran pingat diletakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) kepada mereka.

Dr. Farrah Hani berkata, niat seseorang boleh dibaca samada mereka ikhlas atau tidak untuk berjuang dan mencapai sasaran yang diharapkan oleh negara. “Adakah kita pergi ke sana untuk sekadar main-main sahaja atau serius dalam menjalankan tanggungjawab untuk negara? Kalau kita mengambil ringan dengan tanggungjawab yang diamanahkan, bermakna kita hanya menghabiskan duit rakyat. Tentu kita akan jalani kehidupan kita dengan rasa malu kerana rakyat Malaysia tahu kita pergi dan pulang tanpa ada hasil kerana kita tiada keyakinan, tiada sifat perjuangan dan tiada harapan sebaliknya pulang dengan rasa putus asa,” katanya dengan tegas.

Menurut Dr. Farrah Hani lagi, warga MSN juga tidak bodoh untuk menilai niat kita samada kita pergi untuk mencari kemenangan atau sekadar mahu makan angin ke luar negara. “Sasaran dibuat secara am untuk memberi peluang dan kelonggaran supaya atlet dapat memberikan yang terbaik dalam diri mereka. Prinsipnya beliau percaya kita akan dapat (pingat) emas itu,” katanya ketika melawat sesi latihan skuad sepak takraw di Gimnasium 2 MSN, Bukit Jalil semalam.

Sukan Asia Hangzhou 2023 menjadi medan pertempuran dalam berbagai acara sukan dan membariskan seramai 289 orang atlet negara. Malaysia hanya meletakkan sasaran untuk membawa pulang 27 pingat tanpa mengira warna daripada Sukan Asia Hangzhou ini sekali gus menimbulkan polemik dalam kalangan pemerhati sukan tanah air.

Begitupun, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Naziffudin Najib menjelaskan keputusan tidak meletakkan sasaran pingat kali ini tiada kaitan dengan kegagalan kontinjen negara yang gagal mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu.

Meletakkan sasaran untuk pungutan pingat berkemungkinan akan menambahkan tekanan kepada atlet. Sebaliknya memberi masa yang cukup untuk mempersiapkan diri dan menanam semangat yang kuat buat atlet untuk menghadapi cabaran di Sukan Asia ini adalah lebih baik.

#PrezCom