Kuala Lumpur , 16 september 2023 , 9.00 malam.
Bermula sebelum pembentangan RMK12, ahli politik dari berbagai parti terus memperdengarkan tuntutan untuk mengemukakan usul tergempar mengenai DNNA Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ia menjadi bertambah ghairah dan semakin panas apabila usul ditolak oleh Speaker Datuk Johari Abdul. Pada hari seterusnya masih terus hangat diperdebatkan oleh Ahli Parlimen pembangkang mengatakan Speaker tidak menunaikan janji.
Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat Isnin lalu, keadaan politik negara masih juga bergolak dengan berbagai isu berbangkit terutama mengenai keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari 47 pertuduhan berbagai kes beberapa hari yang lalu. Berbagai kritikan dan tomahan diterima oleh pihak kerajaan dan Peguam Negara yang dikatakan berat sebelah dan tidak adil dalam membuat keputusan.
Melihat senario pada hari ini , bilakah masanya orang politik boleh fokus sepenuhnya terhadap isu rakyat? Ketika ini semakin ramai bercakap mengenai beras tempatan tidak ada dipasaran, jika ada pun harganya mahal dan melambung tinggi. Mungkin tidak di semua kawasan tetapi terdapat dikawasan lain yang tiada langsung kelihatan beras putih tempatan yang menjadi makanan utama rakyat Malaysia sebelum ini. Mengapa secara tiba-tiba negara kita berdepan dengan masalah sebegini rupa?
Telur bukan omega dan minyak paket bersubsidi juga antara barang tidak mudah untuk ditemukan ketika ini. Sepatutnya, ketika rakyat keluh-kesah dengan hal barang keperluan asas susut di pasaran, tidak kira orang politik kerajaan mahupun pembangkang perlu cepat-cepat mencari solusi. Ini juga menjadi tanda tanya kepada rakyat mengapa perkara seperti ini berlaku sebaik saja kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negara? Bilakah waktunya kerajaan akan umumkan semua masalah yang berlaku ketika ini akan selesai sepenuhnya?
Melihat di media sosial turut mengalami nasib serupa apabila menjadi medan ‘bertempur’ antara parti politik, mengalahkan netizen yang sering mempelopori platform tersebut. Ahli politik dari bebagai parti dillihat kini menguasai ruang-ruang di media sosial untuk meluah rasa tidak puas hati mereka terhadap berbagai isu terutama mengenai perkara yang melibatkan dasar-dasar kerajaan. Orang politik ini semakin ghairah menggunakan media sosial untuk mengkritik antara satu sama lain.
Begitulah yang terjadi pada Hari Malaysia hari ini. Beberapa tokoh politik sedang ligat berkempen dan mengajak rakyat turun padang untuk menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia manakala Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh pula mengajak rakyat berhimpun di masjid. Menurut pandangan umum suasana politik negara semakin tidak menentu dan kucar kacir. Ahli parlimen dan ADUN yang dipilih oleh rakyat tujuannya adalah untuk berkhidmat untuk rakyat dan mewakili mereka untuk menyuarakan apa yang perlu untuk mereka dan kawasan yang diwakili. Bukan untuk mewakili diri sendiri dan hanya mengambil kira tentang pandangan dan kehendak diri sahaja. Malangnya itu lah yang berlaku pada segelintir wakil rakyat dan ADUN yang dipilih. Pada pandangan umum itu adalah amat malang bagi para pengundi yang memberi undi kepada mereka.
Orang politik seolah-olah lupa pada ketiadaan beras dan makanan lain dipasaran untuk rakyat disebabkan terlalu asyik berpolitik. Jadi apa yang boleh diharap lagi oleh rakyat kepada mereka? Oleh itu, semua wakil rakyat tolonglah seimbangkan antara isu DNAA Zahid dengan keperluan barang asas rakyat. Rakyat terkontang-kanting kerana langkah penyelesaian sebelum ini hanya atas kertas tetapi tidak di lapangan.
#PrezCom