Kuala Lumpur, 15 September 2023 , 10.30malam.
Ekoran daripada kelantangannya mengkritik keputusan kepimpinan UMNO untuk bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menyertai pilihan raya, Isham Jalil menjangkakan bahawa beliau dan beberapa orang lagi ahli UMNO akan dipecat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO di dalam mesyuarat yang diadakan pada 13 September 2023 yang lalu.
Berikutan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti tidak membuat sebarang kenyataan untuk memecat Isham atau sesiapa pun. Sebaliknya hanya menumpukan mengenai soal mengukuhkan kerjasama bersama rakan-rakan parti komponen.
Sebelum ini, Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan keputusan barisan kepimpinan UMNO untuk bekerjasama bersama dengan PH untuk menghadapi pilihan raya. Kedudukan UMNO dan PH di dalam kerajaan dan kerjasama politik merupakan perkara yang berbeza dan tidak seharusnya disamakan.
Beberapa hari yang lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegur sikap Isham Jalil yang hanya akan membawa masalah kerana terlalu mengkritik. Beliau juga mengingatkan Isham agar tidak memaksa orang lain untuk hormat pendapat peribadi sendiri. Menurut beliau lagi, tiada keperluan bagi UMNO untuk mengadakan pungutan suara (referendum) dalam kalangan ahli berhubung kerjasama di antara parti itu dengan DAP.
Melalui facebooknya semalam, Isham meminta UMNO untuk membuat pungutan suara dalam kalangan tiga juta ahlinya, sama ada mahu bekerjasama dengan DAP atau tidak.
Ia sebagai membalas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyifatkan gesaan Isham supaya UMNO bertanding solo dalam pilihan raya tanpa Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, bukan pendirian rasmi parti.
#PrezCom