Lah Ahmad Sedih Di Atas Pemergian Nenek Pada Usia 102 Tahun.

Kuala Lumpur, 15 September 2023, 12.30 tengah hari.

Penyanyi Lah Ahmad atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad, gagal menahan sebak apabila mengenangkan nenek kesayangannya Allahyarhamah Meriam Ahmad yang telah kembali ke rahmahtullah akibat sakit tua pada usia 102 tahun pada 12 September 2023. Namun begitu, penyanyi dan juga bekas anggota kumpulan VE itu amat bersyukur kerana telah mengimamkan solat jenazah dan menguruskan pengkebumian insan yang menjaganya daripada kecil sehingga dewasa.

Menceritakan kisah kehidupannya bersama Allahyarhamah, selepas ayahnya meninggal dunia, neneknya itu datang untuk tinggal bersama semasa usianya 3 tahun untuk menjaganya dan mengajar tertib solat serta membaca surah Al-Insyirah. Menurut Lah lagi, neneknya itu tidak pernah sekali pun marah apabila melihat beliau memakai seluar jeans yang koyak. Neneknya terus ambil seluar tersebut dan membuangnya tanpa menunjukkan rasa marah.

Lah berkata, beliau begitu terasa kehilangan orang tersayang kerana ia begitu bermakna dalam hidupnya memandangkan Allahyarhamah merupakan insan yang paling tua dan terakhir di dalam keluarganya. Beliau berkata demikian sewaktu sidang media mengenai pengumuman Konsert ‘Lah Ahmad Jatuh Cinta’ di Hotel IDEAS Kuala Lumpur hari ini. Konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 7 Oktober 2023 akan datang.

Menurut Lah, mereka sekeluarga telah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan memandangkan keadaan nenek mereka yang semakin lemah. Katanya kebelakangan ini nenek menunjukkan beberapa tanda pelik yang menunjukkan arwah nenek memberi bayangan situasi dirinya. Lah berkata mereka sudah reda malah telah bersedia sekiranya nenek dijemput Ilahi pada bila-bila waktu. Arwah nenek sering berpesan supaya menjaga ukhwah sesama keluarga.

Bercakap mengenai Konsert ‘Jatuh Cinta Lah Ahmad’ beliau berkata akan menyajikan lebih 20 buah lagu yang diiringi oleh Okestra Simfoni Universiti Malaya. Beliau mengakui begitu teruja dapat bersama Rubbertapper Production House dan bertemu peminat di gelanggang Istana Budaya untuk menghiburkan mereka bagi mendendangkan deretan lagu sendiri dan lagu saduran popular pada malam konsert itu nanti.

Pada awal tahun lalu Lah pernah tampil dengan konsert solo namun kali ini kapasitinya lebih besar. Jadi beliau berharap dapat memenuhi permintaan peminat yang memberikan sepenuh sokongan kepada kerjaya seninya yang telah diceburi lebih daripada 25 tahun.

#PrezCom