KANAK-KANAK LELAKI DIDERA OLEH BAPA KANDUNG DAN IBU TIRI.

Kuala Lumpur, 14 September 2023, 8.30 malam.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dipercayai didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya di Bahau, Negeri Sembilan. Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai seorang kanak-kanak lelaki melarikan diri daripada rumah akibat didera pada jam 2.30 petang. Kanak-kanak lelaki itu dikatakan telah didera semenjak Mac lalu.

Susulan daripada kes tersebut, pihak polis telah menahan bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak itu untuk diambil keterangan mengenai kes penderaan tersebut. Mangsa merupakan anak sulung daripada 4 adik beradik. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga adiknya tidak didera.

Menurut Supt Hoo Chang Hook, bapa kandung kanak-kanak malang itu berusia 27 tahun manakala ibu tirinya berusia 31 tahun. Kedua-dua mereka ditahan sebaik sahaja menerima laporan daripada orang awam mengenai kes penderaan tersebut.

Kanak-kanak itu dipercayai dipukul oleh bapa dan ibu tirinya dengan menggunakan tangan, menendang, merotan dan menggunakan senduk kayu. Hasil pemeriksaan ke atas kanak-kanak tersebut, doktor mendapati banyak kecederaan, parut dan luka di tubuh dan di kepala mangsa. Kanak-kanak itu kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Pilah.

Supt Hoo Chang Hook berkata, kedua-dua suspek kemudian direman selama seminggu bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

#PrezCom