Kuala Lumpur, 14 September 2023, 9.30 malam.
Melihat akan keadaan negara yang tidak menentu, dengan kenaikan harga barang, campur tangan kes mahkamah dan yang terbaru adalah ketiadaan beras putih tempatan di pasaran negara, telah mendorong beberapa orang ahli politik untuk membuat perhimpunan aman. Himpunan Selamatkan Malaysia yang bakal berlangsung di pusat beli-belah Sogo pada hari Sabtu ini iaitu 16 September 2023 akan diteruskan walaupun mendapat reaksi berbagai pihak.
Menurut Badrul Hisham Shaharin, beliau tetap akan meneruskan perhimpunan itu namun memberi jaminan akan memastikan keselamatan dan keamanan terpelihara. Badrul yang mesra dipanggil Che’gu Bard berkata himpunan tersebut akan dihadiri ramai orang jika “pejuang integriti” dalam PKR dan DAP turut menyertai himpunan berkenaan. Berbagai pihak antaranya parti politik dan badan-badan bukan kerajaan akan menyertai perhimpunan ini.
Tujuan himpunan ini diadakan adalah untuk membantah keputusan yang dibuat oleh mahkamah mengenai melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menghadapi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram iaitu wang Yayasan Akalbudi. Ia adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara dan hak rakyat untuk berhimpun.
‘Selamatkan Malaysia’ akan menjadi slogan himpunan pada Sabtu ini kerana keadaan di Malaysia hari ini sangat tidak stabil dari segi ekonomi mahupun politik. Sebelum itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memberitahu Dewan Rakyat bahawa himpunan yang dirancang pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini tidak akan menggoncang kerajaan.
Dalam pada itu, Che’gu Bard menjemput rakyat untuk sama-sama menyelamatkan negara. Program 16 September ini pasti akan berlangsung, bagaimanapun faktor keselamatan menjadi isu utama. Untuk menyelamatkan negara tidak perlu timbulkan huru-hara. Himpunan ini dijangka bakal dihadiri 10,000 peserta yang mungkin akan berhadapan dengan tindakan undang-undang berikutan penganjur dikatakan tidak membuat permohonan untuk berhimpun.
Sementara itu enam laporan polis telah diterima berhubung penganjuran ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ yang dijadualkan berlangsung di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini, pada hari Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung laporan itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Berdasarkan undang-undang dan perlembagaan, penganjuran perhimpunan perlu memberikan notis pemakluman kepada pihak polis dan mendapatkan kebenaran daripada pemilik tempat perhimpunan yang bakal diadakan.
Semalam, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan memaklumkan proses pemakluman mengenai penganjuran sebarang perhimpunan perlu memaklumkan pihak polis dan mendapatkan kebenaran berkemungkinan mengambil masa antara empat hingga lima hari.
Che’gu Bard hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham yang dirakam percakapan berhubung perhimpunan berkenaan.
#PrezCom