Kuala Lumpur, 13 September 2023, 2.00 petang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, mendakwa bahawa dirinya tidak pernah menyuruh ahli UMNO untuk tidak mengundi calon PH atau DAP. Isham menganggap perkara itu adalah satu fitnah. Apa yang beliau katakan adalah, meminta ahli supaya fokus di kawasan UMNO, bukan bermakna menyuruh ahli UMNO meminggirkan calon PH atau DAP. Beliau mengajak semua ahli termasuk pemimpin UMNO untuk melihat rakaman sesi live yang direkod di dalam facebook miliknya. Itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa beliau hanya mahu ahli menumpukan perhatian di kawasan UMNO. Tidak lebih daripada itu.
Isham berkata lagi kemungkinan dirinya dan beberapa ahli lain akan dipecat dalam minggu ini susulan kelantangan beliau dan beberapa pemimpin UMNO mengkritik keputusan kepemimpinan parti untuk bersama-sama Pakatan Harapan (PH) untuk menyertai pilihan raya. Isham berkata lagi bahawa beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan UMNO samada mahu memecatnya atau tidak susulan sering mengkritik dan memberi pandangan yang kebelakangan ini bertentangan dengan pendirian kepimpinan tertinggi UMNO.
Mengulas mengenai akhbar Cina yang menulis kononnya beliau menghalang ahli UMNO daripada mengundi calon PH atau DAP, itu tidak betul sama sekali. Akhbar itu pun telah memohon maaf daripada saya dan telah membuat pembetulan. Perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO melalui WhatsApp semasa isu ini timbul. Walaupun berbeza mengenai dasar dan hala tuju serta matlamat, beliau tidak pernah mengkritik sesama ahli MKT secara terbuka atau di depan ahli.
Isham Jalil berkata dalam pengabungan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH pada dasarnya beliau bersetuju. Pada ketika itu beliau menjawat jawatan Ketua Penerangan UMNO Malaysia. “Ya, saya setuju sebab itu titah Yang di-Pertuan Agong untuk bentuk kerajaan pada ketika itu tetapi saya tidak pernah setuju untuk pergi pilihan raya dengan PH. Berada dalam kerajaan dan pergi pilihan raya bersama adalah dua perkara yang berbeza. Agong tidak pernah titah kita pergi pilihan raya bersama PH. Jangan campur adukkan dua perkara ini,” tegasnya.
Pada masa yang sama beliau menyangkal ada pihak lain di belakang beliau yang memberi sokongan. Isham mendakwa beliau tidak mahu menjadi Ketua Penerangan UMNO kerana jawatan itu memerlukan beliau untuk mempromosi DAP, oleh itu beliau menolak jawatan tersebut kerana tidak mahu menyuruh akar umbi menyokong DAP kerana itu bertentangan dengan prinsip beliau dan beliau juga bukan orang yang gila jawatan. Pemimpin DAP pernah menyuruh beliau meletakkan jawatan tetapi beliau tidak mengikut kehendak mereka kerana beliau dipilih oleh akar umbi UMNO. Bukan DAP yang memilih beliau.
UMNO dan BN menunjukkan prestasi buruk di dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini. Isham berkata perkara itu dipercayai akibat daripada penolakan orang Melayu dan akar umbi parti. Daripada pandangan umum ahli dan penyokong UMNO masih belum mahu menerima sepenuhnya kerjasama politik di antara UMNO dan PH terutama yang melibatkan DAP. Isham berpendapat, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kelmarin menyaksikan BN kehilangan kira-kira 27,000 undi Melayu. Itu sesuatu yang menyedihkan buat UMNO dan BN.
#PrezCom