Kuala Lumpur, 13 September 2023, 5.00 petang.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya mesti dipisahkan. Kerajaan perlu mempercepatkan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya supaya tidak timbul lagi perdebatan serta kesangsian daripada rakyat dan pelbagai parti politik di negara ini. Perkara ini perlu dilakukan supaya kerajaan tidak dituduh memainkan peranan atau campur tangan dalam kes mahkamah ahli politik atau individu ternama yang terbabit di dalam berbagai kesalahan.
Kerajaan perlu memulihkan maruah dan reputasi Peguam Negara dan Pendakwa Raya agar tidak dipandang hina disebabkan pandangan dan kritikan yang tajam daripada rakyat dan daripada berbagai pihak lain mengenai sistem perundangan negara yang dikatakan tidak adil dan terdapat salah guna kuasa oleh ahli politik tertentu yang berprofil tinggi. Pengasingan kuasa ini adalah penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Chua Wei Kiat mengulas mengenai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya. Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendakwa bahawa keputusan pihak pendakwaan memberhentikan prosiding itu menimbulkan kritikan ramai pihak termasuk beberapa menteri di dalam kabinet kerajaan.
Sementara itu pada 12 September 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dua pasukan petugas khas ditubuhkan bagi mempercepatkan usaha pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, sekali gus memastikan tadbir urus lebih demokratik dan mantap, selain meningkatkan pentadbiran undang-undang. Dua pasukan tersebut diberi nama Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal.
Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dicadangkan untuk menjalankan kajian berdasarkan keterangan ke beberapa negara seperti England, Australia, Kanada dan Kenya bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tidak dapat diakses melalui data terbuka kajian amalan terbaik global. Penubuhan Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dicadangkan terdiri daripada Datuk Seri Azalina Othman Said serta wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, wakil blok pembangkang, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU),” kata Azalina menerusi kenyataan pada hari Selasa yang lepas.
Pasukan Petugas Khas Teknikal pula akan meneliti secara komprehensif mengenai empirikal perundangan, perjawatan dan kewangan. Pasukan Petugas Khas Teknikal akan menyediakan laporan Interim dalam tempoh satu tahun untuk mengkaji mengenai kajian Emperikal Komprehensif Pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk mengambil kira hasil kajian berdasarkan keterangan dan pembentangan hasil kajian empirikal untuk pertimbangan jemaah menteri.
Azalina berkata, “Sesi libat urus dan perbincangan bersama pemegang taruh lain seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan lain-lain pula akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal pada masa terdekat.”
Tambah Azalina, agenda reformasi itu penting dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan pentadbiran, sistem perundangan dan tata kelola yang baik.
#PrezCom