Kenyataan Isham Tidak Mewakili UMNO - Anthony Loke Jawab Dakwaan Isham Jalil Mengenai Pembentukan Kerajaan Perpaduan

Kuala Lumpur , 13 September 2023 , 3.00 petang.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, telah mengulas kenyataan yang dibuat oleh Isham Jalil mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan UMNO dan PH. Isham Jalil mendakwa bahawa YDPA hanya menitahkan pembentukan kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi bukan bergabung dalam pilihan raya. Anthony membalas kenyataan yang dibuat oleh Isham Jalil itu dengan menyatakan bahawa kenyataan Isham itu tidak mewakili kesemua ahli dan pemimpin UMNO, ia adalah kenyataan peribadi yang dibuat oleh Isham sendiri.

Menurut Anthony lagi, kenyataan yang dibuat oleh Isham itu dikeluarkan setelah UMNO hanya menang 19 kerusi sahaja daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan semasa Pilihan Raya Umum yang ke-15 yang lalu. “Dia hanya salah seorang pemimpin sahaja,” kata Loke dalam sidang media di sebuah hentian bas stesen LRT di ibu negara semalam. Menurut Loke lagi, Isham sendiri juga mendakwa dirinya akan dipecat kerana tidak sehaluan dengan keputusan parti itu untuk bekerjasama dengan DAP. Itu bukan kenyataan daripada UMNO.

Sementara itu Isham menjawab kenyataan Loke dengan menyatakan bahawa pandangan beliau mewakili suara akar umbi. Kata Isham lagi, akar umbi mahu UMNO mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bukan “mengikut telunjuk DAP” untuk memperjuangkan Malaysian Malaysia.

“Jika mahu tahu secara tepat apa yang akar umbi UMNO mahu, YB boleh minta kepada kawan-kawan pro-DAP di dalam UMNO untuk membuat pungutan suara (referendum) dan tanya tiga juta akar umbi UMNO sama ada mereka mahu bekerjasama dengan DAP atau tidak,” katanya.

Pada 13 Ogos 2023, Isham menyatakan UMNO hanya mempunyai dua pilihan, sama ada terus bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan dan pilihan raya, ataupun bekerjasama hanya dalam kerajaan dan bukan pilihan raya.

“Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh membina semula parti kita dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar, namun demikian dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat. Jika tidak, akar umbi kita akan lari ke parti lain, dan nasib kita akan menjadi seperti pepatah yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Untuk mengejar 500 undi DAP, kita hilang 5,000 undi Melayu dan hilang akar umbi. Jika kita hilang akar umbi parti kita akan mati. Ini tidak bijak malahan bahaya,” jelasnya.

#PrezCom