Kuala Lumpur, 12 September 2023, 2.30 petang.
Pada hari Isnin, 11 September 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 9 anggota penguat kuasa sebuah agensi di Kedah di atas kesalahan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik sebuah bot nelayan dan orang suruhan pemilik bot tersebut. Wang yang dipercayai sebagai rasuah itu telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi.
Menurut sumber SPRM, turut ditahan bersama adalah 2 orang awam yang dipercayai memberi rasuah kira-kira RM300 hingga RM7,000 kepada 9 anggota penguat kuasa terbabit yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi. Ini menjadikan 11 orang semuanya yang ditahan oleh pihak SPRM di atas kesalahan tersebut yang dipercayai berlaku di antara tahun 2018 hingga tahun 2021.
Menurut Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, 5 daripada 9 anggota yang terlibat akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Selasa manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil. Kesemua 11 suspek yang berusia di antara 30an hingga 50an itu ditahan antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam ketika diminta hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar.
Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009. Wang rasuah tersebut diterima oleh mereka sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia tidak harus terkenal sebagai sebuah negara perasuah. Disebabkan itu beliau bertekad untuk memerangi rasuah hingga ke akar umbi. Beliau telah berjanji kepada rakyat untuk menentang rasuah habis-habisan.
Oleh itu, penjawat awam dan rakyat Malaysia perlu memberi kerjasama agar perbuatan rasuah dapat dibenteras secepat mungkin. Mengamalkan rasuah adalah salah di sisi undang-undang negara dan amat ditegah oleh mana-mana agama di dalam dunia ini.
#PrezCom