Kuala Lumpur, 12 September 2023, 12.30 tengahari.
Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi pada hari Isnin, kerajaan akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Industri Sukan dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terpilih bagi membangunkan industri sukan negara. Pusat kecemerlangan sukan tersebut akan bertindak sebagai rujukan dalam menyediakan pengetahuan dan menjalankan penyelidikan dalam pelbagai segmen sukan.
Menurut laporan, pusat ini juga akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam mengenal pasti idea, pengetahuan dan inovasi baharu berkaitan sukan. Untuk memudahkan proses membuat keputusan berasaskan maklumat, satu pangkalan data yang berpusat akan diwujudkan bagi memajukan pembangunan industri sukan negara.
Dalam penyediaan maklumat seperti produk sukan, pekerjaan dan perbelanjaan pengguna, usaha akan diteruskan bagi membolehkan perancangan yang lebih baik dalam membangunkan industri sukan. Liga sukan profesional akan diperluas kepada pelbagai jenis sukan. Usaha ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, seperti jurulatih, personal perubatan dan pengulas sukan, serta peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
Sumber kewangan alternatif termasuk tajaan korporat akan diterokai untuk meningkatkan dana pembangunan sukan. Menurut laporan yang telah disediakan, insentif cukai berkaitan sukan akan disemak semula untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dan komuniti dalam pembangunan sukan, seperti menaja acara sukan dan menyediakan pekerjaan kepada bekas atlet.
Di dalam laporan yang disediakan, turut memaklumkan langkah untuk memperluas rantaian nilai industri sukan seperti pengeluaran produk, perkhidmatan pengurusan acara, kewartawanan dan penyiaran serta kejurulatihan sukan akan dipergiatkan dengan mengoptimumkan potensi industri berkenaan. Sementara itu, Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) digalakkan untuk menjana pendapatan serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan.
#PrezCom