MUHYIDDIN SEORANG PEMIMPIN YANG LEMAH - TUN M

Kuala Lumpur, 11 September 2023, 7.00 malam.

Di dalam satu wawancara bersama Malaysiakini pada 11 September 2020, Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa Muhyiddin Yassin adalah seorang Perdana Menteri yang sangat lemah.

Tun Mahathir juga mendakwa Muhyiddin tidak berani untuk memilih Timbalan Perdana Menteri dan juga gagal untuk mengambil tindakan terhadap menteri kabinetnya yang melanggar peraturan termasuk perintah kuarantin wajib Covid-19. Sebaliknya Muhyiddin banyak bergantung kepada UMNO dan PAS bagi meneruskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Menurut Tun lagi, selepas Muhyiddin mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan, untuk pertama kalinya Malaysia menyaksikan tiada Timbalan Perdana Menteri dilantik. Ia merupakan satu perubahan struktur kerajaan yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Sebaliknya menurut Tun lagi, Muhyiddin melantik empat menteri kanan yang merupakan jawatan lebih tinggi berbanding menteri lain dan hanya satu tahap di bawah jawatan Perdana Menteri. Semasa pentadbiran Muhyiddin, beliau melantik seorang menteri daripada GPS dan seorang lagi menteri daripada UMNO untuk mengisi jawatan menteri paling kanan di dalam kabinet beliau.

Tun Mahathir mengulas mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali yang gagal menjalani perintah kuarantin wajib selama 14 hari selepas pulang daripada Turki sewaktu pemerintahan Muhyiddin.

Selain Khairuddin, dua Timbalan Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mencetuskan kontroversi berhubung isu penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan capaian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tetapi kini kita semua dapat melihat, bagaimana Tun terpaksa bersatu kembali bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin untuk mengkritik kerajaan di hari ini.

Berbagai pandangan dilontarkan oleh kedua-dua pemimpin itu mengenai kelemahan kerajaan sekarang. Berbagai cadangan juga dibicarakan setiap hari sekiranya parti Perikatan Nasional dapat menerajui negara.

Inilah dunia politik. Segala-galanya boleh berubah. Jadi adakah benar dengan apa yang diperkatakan sebelum ini? Muhyiddin adalah seorang Perdana Menteri yang lemah sewaktu pemerintahnya? Sedangkan beliau kini memberi sokongan dan bekerjasama dengan Muhyiddin?

#PrezCom