
Kuala Lumpur, 11 September 2023, 7.30 malam.
Konvoi Terakhir Tiga Sahabat… .Tiga orang pekerja daripada ladang Felda Lepar Utara maut dirempuh oleh kereta yang terbabas di Jalan Besar Felda Jengka 17, Maran, petang semalam. Kemalangan yang berlaku pada jam 6.15 petang, telah menyebabkan kesemua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penunggang motosikal yang terbunuh di dalam kemalangan itu adalah Fadhil Syah Sulaiman, 19 tahun dan Muhammad Firdaus Zainal Abidi, 20 tahun daripada Felda Lepar Utara serta Mohd Ridhwan Mahayadin, 35 tahun yang beralamat di Felda Jengka 17.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR manakala kereta pula adalah jenis Peugeot.
Ketiga-tiga penunggang motosikal yang terbunuh itu dipercayai menunggang dalam keadaan seiring dan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas makan ikan patin di Temerloh.
“Kereta yang terbabit dalam kemalangan ini dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh mereka,” menurut Norzamri lagi.
Pemandu kereta Peugeot terbabit adalah Engku Rosli Engku Hasan, 51 tahun, cedera dan mengalami sesak nafas kini dirawat di Hospital Jengka.
Kesemua mayat telah dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat, manakala kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#PrezCom.