
Kuala Lumpur, 7 September 2023, 12.30 tengahari.
Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM), Ismail Awang berkata, anggaran jumlah subsidi diperlukan dalam industri beras negara adalah sekitar RM800 juta setahun. Beliau mencadangkan supaya keuntungan yang diperolehi oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dikembalikan kepada rakyat menerusi pemberian subsidi beras.
Pada 30 Ogos 2023 lalu, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mencatat keuntungan bersih RM40.2 bilion bagi tempoh separuh pertama 2023. Menurut Ismail, “Hasil PETRONAS adalah hak rakyat jadi tidak salah ia dikembalikan kepada rakyat. Jumlahnya pun tidak sampai RM1 bilion, sekitar RM800 juta setahun,” katanya di sini semalam.
Kerajaan perlu memperkenal subsidi Beras Rahmah-Malaysia Madani dalam usaha mengawal harga sumber karbohidrat itu yang kini menjadi igauan buruk rakyat khususnya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan. Apa yang perlu dibuat oleh kerajaan kini adalah membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19. Ia melibatkan hampir 500,000 keluarga yang akan mendapat manfaat daripada program sosial itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak pengilang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah diarah menghantar bekalan di mana-mana lokasi yang berlaku kekurangan beras. Disebabkan terdapatnya beberapa tempat di Malaysia yang mempunyai masalah bekalan beras, maka baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), pegawai-pegawai tinggi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) serta pesawah hari ini bagi membincangkan isu bekalan beras tempatan.
“Memperkenal subsidi dan Beras Rahmah adalah langkah terbaik untuk memastikan rakyat masih mampu membeli dan menikmati makanan karbohidrat yang membekalkan sumber tenaga kepada manusia. Jika tiada beras yang merupakan makanan utama, rakyat hendak makan apa? Kenapa kerajaan bersusah payah beri subsidi pada ayam dan telur sedangkan beras makanan utama?”, kata Ismail. “Jika tiada telur atau ayam, rakyat ada pilihan makanan lain. Jadi, langkah terbaik adalah kurangkan 50 peratus subsidi ayam dan telur, beri kepada beras supaya wujud keseimbangan,” tambahnya.
Mengulas hala tuju industri beras negara, beliau berkata, “Kerajaan perlu mewujudkan badan pengawal khas bagi industri beras negara. Sebagai contoh untuk pembersihan awam, di Pahang ini misalnya ia diselia oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). Beras pun perlu begitu. Kena ada operator utama yang mengawal selia industri beras seperti mana SWCorp, jika ada masalah kerajaan terus mencari operator ini bagi menyelesaikan masalah.”
Peningkatan mendadak permintaan beras tempatan kebelakangan ini menyebabkan berlakunya kekurangan stok berkenaan di beberapa lokasi tertentu, namun langkah campur tangan kementerian sedang dilaksanakan dengan segera ketika ini dalam menyelesaikan isu atau masalah yang berlaku. Menerusi langkah campur tangan kementerian menerusi Program Khas BPT itu, kita jangkakan bekalan BPT negara dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah campur tangan menerusi Program Khas BPT itu akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran seluruh negara. Bagaimanapun, beliau menasihati pengguna supaya tidak risau atau panik sehingga membeli BPT secara berlebihan.
#PrezCom