Kuala Lumpur, 7 September 2023, 08.56 pagi

Semperna Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menganjurkan ‘Pesta Rakan Muda Mudi: Demokrasi Beraksi’. Sebuah program di bawah Rakan Muda yang akan diadakan pada hari Sabtu ini 9 September 2023. Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai prinsip demokrasi dan nilai kenegaraan. Program secara percuma itu akan berlangsung daripada 10 pagi sehingga 10 malam di Menara KBS, Putrajaya di sini dengan sasaran antara 1,000 hingga 2,000 pengunjung, khususnya pelajar universiti dan sekolah.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, program itu juga merupakan projek rintis yang mengetengahkan elemen Rakan Demokrasi, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik dan Rakan Niaga sebelum program yang sama diperluaskan ke luar bandar. Kesemua elemen yang diketengahkan itu merupakan antara 10 inisiatif Rakan Muda yang diperkenalkan pada Jun lepas selaras dengan cita rasa dan minat generasi muda hari ini. Program ini juga memperluaskan pengetahuan anak muda mengenai kepelbagaian isu yang mewarnai Malaysia di masa kini.

Selain itu, ia juga bertujuan mempromosi jenama Rakan Muda yang diberi suntikan dan nafas baharu melalui gaya hidup Rakan Demokrasi khususnya gaya hidup lain dengan pengisian program dan aktiviti lebih segar, menarik serta bermanfaat,” katanya kepada media ketika mengadakan ‘walkabout’ dan mengedarkan risalah Pesta Rakan Muda Mudi di Ayer@8 baru-baru ini.

Menurut Adam Adli, pesta tersebut juga sebahagian daripada mekanisme sosialisasi KBS dalam membudayakan golongan belia dan melibatkan mereka dalam program berpaksikan penghayatan nilai murni. Antara pengisian pesta itu adalah sesi kelas demokrasi, forum berkaitan perjuangan wanita dan kemerdekaan, jualan keusahawanan belia dan pameran seni visual, selain beberapa personaliti tanah air juga dijadual membuat penampilan di pesta tersebut.

#PrezCom