Kuala Lumpur, 31 Ogos 2023, 4.20 petang. Seperti yang telah diumumkan pada bulan lepas, kerajaan memutuskan untuk memperluaskan (scale-up) pelaksanaan Program IPR-INTAN dengan lebih cepat bertujuan meningkatkan keberkesanan usaha pembasmian kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat. Usaha ini juga akan meningkatkan kemampanan bekalan makanan serta membantu usaha untuk mengawal harga makanan di pasaran. Model baharu pelaksanaan Program IPR-INTAN ini adalah di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang mengambil pendekatan pelbagai serampang oleh Kementerian Ekonomi untuk menangani isu keselamatan dan keterjaminan makanan dengan menggunakan kaedah pertanian moden di samping membasmi kemiskinan demi kemampanan masa depan negara.

Kerajaan memperuntukan RM100 juta bagi tahun 2023 untuk pelaksanaan projek IPR-INTAN secara RFP (Request for Proposal) oleh syarikat swasta terpilih. Model baharu pelaksanaan Program IPR-INTAN akan diperkenalkan dengan menjemput syarikat-syarikat swasta yang mempunyai kemahiran dan keupayaan untuk menjadi rakan strategik melalui RFP, dan seterusnya bersama Kerajaan dan orang awam (golongan B40, miskin dan miskin tegar) untuk bersama-sama mengusahakan projek pengeluaran hasil pertanian di seluruh negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, projek pertanian yang boleh diusahakan adalah tanaman atau ternakan yang memberikan hasil dalam tempoh kurang dua tahun dan mempunyai potensi penggunaan teknologi ladang moden. Sebanyak tujuh Pihak Berkuasa Koridor (PBK) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) diberi tanggungjawab untuk mengeluarkan jemputan (RFP), membuat pemilihan, melantik dan memantau projek IPR-INTAN ini berdasarkan perjanjian antara kedua-dua belah pihak,” katanya pada sidang media Indeks Harga Pengguna (IHP) Julai 2023, di sini semalam.

Jumlah penyaluran dana IPR-INTAN secara RFP kepada PBK dan PKEN itu adalah ECERDC, NCIA dan PKNS masing-masing menerima RM20 juta, sementara SEDIA dan RECODA pula masing-masing mendapat RM15 juta, manakala Iskandar Malaysia dan PKNNS masing-masing menerima RM5 juta.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pemilihan syarikat swasta bagi melaksanakan projek IPR-INTAN secara RFP akan dibuat berdasarkan beberapa kriteria terutamanya pengalaman dalam projek pertanian, reputasi yang baik dalam industri, struktur pengurusan yang baik dan kemampuan kewangan yang kukuh. Beliau berkata, syarikat swasta yang berminat perlu mengemukakan cadangan projek merangkumi sekurang-kurangnya tiga komponen utama iaitu cadangan projek termasuk skop, kaedah pelaksanaan, unjuran pengeluaran, unjuran pendapatan peserta, tempoh pusingan tuaian, purata harga jualan ladang dan pemasaran hasil.

Pelaksanaan projek IPR-INTAN secara RFP boleh dilaksanakan sama ada di atas tanah kerajaan atau tanah milik persendirian. Bagi projek di tanah milik kerajaan, kerajaan akan membiayai sepenuhnya kos pelaksanaan projek termasuk kos operasi untuk pusingan pertama tanaman/ternakan yang diusahakan. Bagi projek di tanah milik persendirian, kerajaan akan membiayai melalui geran padanan secara imbuhan balik pada kadar 50:50 (kerajaan:syarikat) berdasarkan jenis perbelanjaan yang layak. Had pembiayaan adalah RM5 juta bagi setiap permohonan (anggaran luas kawasan 40 ekar) dan tidak melebihi RM25 juta bagi setiap syarikat,” Tuntutan imbuhan semula dibuat selepas syarikat menyelesaikan keseluruhan projek. Katanya.

Bagi tanah milik kerajaan, tempoh kebenaran minimum penggunaan tanah adalah lima tahun, sementara bagi tanah milik persendirian, tempoh kebenaran minimum penggunaan tanah adalah 10 tahun dan mempunyai klausa pelanjutan untuk tempoh seterusnya. “Tanah itu juga perlu berada dalam keadaan sesuai/sedia digunakan bagi mengelakkan sebahagian besar kos projek digunakan bagi memperbaiki tanah/kawasan berkenaan. Syarikat swasta terpilih perlu melatih peserta yang terpilih dalam aspek teknikal, keusahawanan, pengurusan projek, pengurusan kewangan dan motivasi.

Katanya, setiap peserta akan disediakan kontrak pekerjaan bagi memastikan hak pihak-pihak berkaitan jelas dan dilindungi. Dokumen kontrak akan turut meliputi perkara berkaitan perkongsian lebihan keuntungan sekiranya harga jualan hasil pertanian lebih tinggi daripada anggaran asal. Setiap peserta akan menerima jaminan menerima pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

“ECERDC dan NCIA dijadual akan menerbitkan dokumen RFP bagi syarikat swasta untuk beberapa lokasi projek pada pertengahan September 2023 dan pelantikan syarikat yang dipilih dapat dibuat sebelum November 2023,” katanya.

#PrezCom