Kuala Lumpur,27 Ogos 2023, 11.28 am Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa, penyaluran bantuan oleh kerajaan tidak boleh diletakkan lambang parti politik. Apa jua bantuan dari kerajaan mesti disalurkan atas nama kerajaan. Beliau menegaskan perkara ini pada sidang media selepas Kenduri Rakyat dan menyampaikan Bantuan Bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia, Kempas pada 25 Ogos 2023 yang lalu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak perlu mematuhi etika berkempen dan menghormati peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini telah diamalkan oleh Perikatan Nasional (PN) dulu dan ada juga terdapat satu atau dua perkara yang sama berlaku dalam Kerajaan Perpaduan dan arahan kerajaan tidak di benarkan berbuat begitu. Bantuan kerajaan perlu disalur atas nama kerajaan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata, teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat tidak boleh disalurkan dengan menggunakan lambang parti adalah tepat dan perlu dipatuhi oleh semua pihak. Ini adalah kerana sumbangan bantuan tersebut adalah daripada peruntukan kerajaan. “Kalau peruntukan kerajaan hanya ada satu lambang iaitu Jata Negara. Sejak dahulu pun apabila saya datang, penyerahan replika cek hanya fokus Jata Negara sebab ini peruntukan kerajaan, memang teguran Perdana Menteri (PM) itu tepat. Apabila PM tegur, ia adalah untuk semua, semua parti, semua menteri,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM324,668 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad di Seremban Negeri Sembilan pada 26 Ogos 2023.

Dalam pada itu, Loke berkata setakat ini, pihaknya sudah menyalurkan kira-kira RM1.5 juta menerusi 28 projek PMR bagi kawasan Parlimen Seremban khususnya dalam membantu sekolah meningkatkan kemudahan prasarana. Beliau berkata, bantuan itu disalurkan selaras dengan hasrat kerajaan dalam menangani masalah sekolah daif dan kekurangan kemudahan. Beliau memahami bahawa peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) sudah tentu tidak dapat menampung sepenuhnya bagi semua keperluan meningkatkan prasarana sekolah. Oleh itu, sebagai Ahli Parlimen, beliau perlu membantu dan menjadi keutamaannya memantau kerana sekolah adalah institusi penting dan jika ada kemudahan yang lebih baik sudah tentu dapat meningkatkan motivasi guru dan pelajar,” katanya.

Perkara meletakkan logo parti pada cek bantuan kerajaan berbangkit apabila Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Yang Berhormat (YB) Nga Kor Ming menyerahkan replika cek kepada 17 buah sekolah rendah dan menengah Jenis Kebangsaan Cina di Negeri Perak setelah Kerajaan Perpaduan memperuntukkan dana sejumlah RM1.8 juta untuk kerja membaiki dan menambah baik sekolah. Di dalam pemberian replika cek itu, terpapar logo DAP berserta logo PH dan Malaysia Madani turut dicetak bersama-sama Jata Negara di cek tersebut. Oleh kerana terdapat paparan logo parti politik pada replika cek itu, tindakan Nga Kor Ming itu telah mendapat kecaman dari berbagai pihak. Timbalan Presiden MCA, Dato’ Dr. Mah Hang Soon juga mengecam tindakan Nga. Menurut Mah, ia boleh dilihat sebagai “salah guna kuasa.

Terdahulu sebelum ini Ketua Pemuda UMNO  Dr Muhammad Akmal Salleh menempelak Menteri KPKT Nga Kor Ming dan berkata “Sekiranya sumbangan ini dari pihak kerajaan apa kaitan dengan logo DAP? Jagan Jadi Bodoh Bila Dah Jadi Menteri.” katanya didalam posting Facebooknya pada 23 Ogos 2023 yang lalu.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Loke, yakin Pakatan Harapan (PH) yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan. “Kedua-dua kerusi ini merupakan kerusi campuran, sudah tentu PH ada kelebihan tambahan pula kita mendapat sokongan daripada UMNO Johor selain Johor merupakan kubu UMNO selama ini “Saya yakin dengan bantuan daripada UMNO , bukan sahaja dapat mempertahankan kedudukan, malah mendapat sokongan daripada pengundi UMNO dan BN juga,” katanya.

#PrezCom