
Kuala Lumpur, 26 Ogos 2023 09 :44am. Kementerian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa bersiapsiaga dalam menghadapi bencana yang berlaku khususnya ketika Monsun Timur Laut yang berlaku setiap tahun lazimnya bermula pada bulan Oktober 2023 sehingga Mac 2024. Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), biasanya fasa peralihan Monsun akan bermula pertengahan September sehingga November. Bencana adalah suatu kejadian yang menyebabkan ganguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan negara, melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber yang melebihi kapasiti sedia ada.
Dalam menghadapi bencana banjir, tugas dan tanggungjawab agensi yang terlibat semasa bencana seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA); Pejabat Kesihatan; Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA); Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta sukarelawan diperlukan bagi memastikan pengurusan PPS berkesan semasa menguruskan bencana, justeru satu program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dijalankan di SRJK (T) Saraswathy, Jalan Kampung Pasir, Lembah Pantai semalam yang bermula pada pukul 3.00 petang sehingga jam 12.00 malam.
Pelaksanaan program ini adalah bagi persediaan rapi kepada semua agensi-agensi terlibat termasuklah Pejabat Parlimen Lembah Pantai supaya dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap, bersepadu dan berkesan di PPS. Turut hadir, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL), DBKL, RELA, APM, Jabatan Kesihatan Daerah, pihak PDRM , Jabatan Penerangan, Jabatan Pendidikan Negeri/Daerah, Sukarelawan JKM, BOMBA dan komuniti setempat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai telah mengadakan masa turun padang untuk memerhatikan sendiri persiapan yang dibuat dan juga merasmikan program semalam. Di dalam ucapan ringkasnya, YB Fahmi Fadzil berpesan katanya, “saya berharap melalui simulasi ini kita akan tahu secara praktis tugas dan tanggunjgawab kita dan juga apa yang disebut sebagai Arahan MKN No.20 iaitu Dasar dan Mekanisma Pengurusan Bencana Negara.” YB Fahmi Fadzil juga menambah, katanya; “sebagai tambahan saya berharap agar aspek ‘first-aid’ dapat kita tingkat supaya lebih ramai dapat kita selamatkan.” .YB Fahmi Fadzil juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.
#PrezCom