
Kuala Lumpur, 26 0gos 2023 02:00pm. Tular di media sosial satu perkongsian video TikTok berdurasi 3 minit 50 saat yang memaparkan kanak-kanak dari Colorado Amerika Syarikat (Colorado Children in Carole) membuat persembahan koir di dalam Bahasa Melayu berasaskan peribahasa Melayu dan Menghitung (Kira). Persembahan koir ini telah dikoreografikan oleh Fairuz Fee Tauhid daripada Malaysia dan diokestrakan oleh Dr Tracy Wong. Tahniah kepada Dr Tracy Wong dan Tuan Fairuz Fee Tauhid yang telah memartabatkan bahasa Melayu di pentas dunia.
Antara bait-bait kata persembahan ini adalah: “Satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan. Sediakan payung sebelum hujan. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Yang bulat tak datang menggolek yang pipih tak datang melayang.” Begitu lah pepatah melayu yang begitu sedap didengar dan mempunyai maksud tertentu untuk dijadikan panduan di dalam kehidupan. Susunan muzik koir yang dipentaskan itu telah digubah oleh pendidik muzik, Dr Tracy Wong, iaitu seorang rakyat Malaysia yang menetap di Kanada.
Ini bukanlah kali pertama Wong terlibat dalam pementasan koir berbahasa Melayu di Amerika Syarikat. Malah, sebelum ini Wong telah menggubah satu muzik koir bertajuk ‘JAM! (Jom-Ayuh-Mari)’ yang dipersembahkan oleh kumpulan Shanti CO di Colorado All-State Treble Choir pada bulan Mei 2023. Di dalam gubahan lagunya juga, Wong memasukkan elemen permainan kanak-kanak seperti “Sep Sep Sep, Tom Tom Tom dan Lat Talilat”. Satu pujian yang amat tinggi patut diberikan kepada Wong daripada penonton di Malaysia kerana telah memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia.
Wong telah menjadi artis residensi selama seminggu di sana sementara menunggu karyanya dipersembahkan oleh kumpulan koir tersebut. Dia telah ditugaskan oleh Colorado Children’s Carole dan Pengarah Artistik Emily Crile bagi menghasilkan karya itu bagi konsert Musim Bunga 2023, Time to Shine. Di ruangan komen, netizen dilihat begitu teruja dengan persembahan tersebut kerana Wong begitu gigih berusaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu hingga ke peringkat antarabangsa dan atas daya kreatifnya sendiri.
Menerusi hantaran Facebook (FB), Wong memaklumkan gubahan muzik Kira! boleh dibeli di Graphite Publishing Marketplace di bawah Siri Tracy Wong. Foto Facebook (FB) Dr Tracy Wong. Lirik dan terjemahannya turut disediakan. Sementara itu, menerusi hantaran di TikTok Fairuz, klip video persembahan yang dimuat naik tiga hari lalu, mencapai lebih sejuta tontonan dan mendapat lebih 117,000 tanda suka.
Syabas kepada Dr Tracy Wong dan Tuan Fairuz Fee Tauhid serta kanak-kanak yang mengambil bahagian di dalam persembahan yang menarik ini. Bukan sahaja menjadi tontonan rakyat Malaysia, malah menjadi perhatian di luar negara. Harapan kami di Malaysia adalah pada masa akan datang akan ada lebih ramai lagi rakyat Malaysia seperti Dr Tracy Wong dan Tuan Fairuz yang bersemangat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
#PrezCom