
Kuala Lumpur, 25 Ogos 2023 10:00pg. Semalam satu perjanjian persefahaman telah diadakan di antara syarikat terkemuka ejen Coway, syarikat EC Team bagi terus menguasai pasaran dan meningkatkan prestasi pencapaian syarikat dengan kolaborasi strategik yang dibuat bersama Stuck.My iaitu sebuah entiti bisnes di bawah syarikat Arrange Group Sdn. Bhd.
Pengurus Besar EC Team, Encik Sabky bin Mat Latif hari ini di dalam ucapan ringkasnya mewakili pihak EC Team berkata, “EC Team sedang menjalani proses transformasi perniagaan, seiring dengan perubahan lanskap perniagaan di Malaysia dan untuk mendokong visi dan aspirasi Coway”. Coway adalah sebuah syarikat peneraju industri perkakasan rumah 100% mesra alam yang memberikan fokus kepada kesihatan, alam sekitar dan kesejahteraan sejagat. Coway dengan temanya ‘The Best Life Solution Company’ adalah sebuah syarikat yang berpengkalan di Korea Selatan sejak tahun 1989 lagi dan telah melebarkan sayapnya memasuki Malaysia pada tahun 2006 lagi. Sehingga kini Coway sudah mempunyai lebih 3 juta pelanggan di Malaysia dan jumlahnya semakin berkembang pesat. Coway yang sudah bertapak selama 17 tahun di Malaysia kini bersama memberikan tumpuan kepada amalan ‘Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)’ bagi memastikan Malaysia mencapai pertumbuhan dan pembangunan mampan.
Sementara itu perunding kepada Stuck.My, Ts. Coach Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari pula memberitahu bahawa kerjasama yang diadakan adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan dan diskusi yang telah diadakan terdahulu sebelum ini bersama beberapa orang pemimpin-pemimpin ejen dari syarikat EC Team yang begitu mengambil berat tentang prestasi dan perkembangan kemajuan syarikat EC TEam.
Coach Megat juga menjelaskan, kaedah ‘Design Thinking’ akan digunapakai di dalam perlaksanaan pembangunan pelan strategik syarikat EC Team kerana kaedah ‘Design Thinking’ mengambil kira aspek manusia (user-centric), lebih unik, lebih bertepatan dan lebih berkesan di dalam membangunkan inovasi dan penyelesaian masalah terutama untuk diaplikasikan di dalam industri berasaskan barangan dan perkhidmatan seperti syarikat Coway. Kaedah ‘Design Thinking’ sudah lama digunakan di dalam pembangunan produk-produk kejuruteraan dan inovasi teknologi tetapi tidak banyak diaplikasikan di dalam pembangunan produk berasaskan pelanggan dan perkhidmatan kerana masih tidak ramai pemain-pemain industri yang didedahkan dengan teknik ini.
Coach Megat yang sudah berpengalaman lebih 20 tahun di dalam membantu syarikat-syarikat korporat membuat transformasi memberitahu bahawa di dalam keterujaan syarikat-syarikat dan industri mengejar kecanggihan dengan mengaplikasi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) terlalu banyak syarikat yang terlepas pandang tentang aspek kemanusiaan di dalam merangka strategi dan menyelesaikan masalah. Aspek kemanusiaan dan kreativiti tidak terdapat di dalam teknologi dan kecerdasan buatan justeru sesuatu strategi yang dibangunkan tanpa mengambil kira sudut pandang nilai-nilai kemanusiaan dan kreativiti akan hanya menghasilkan produk atau impak yang tidak mantap atau tidak seimbang.
Kerjasama strategik ini dibuat bagi tempoh enam bulan di mana tiga bulan pertama adalah tempoh bagi persiapan memperkemaskan strategi dan halatuju syarikat EC Team dan tempoh tiga bulan berikutnya adalah bagi aktiviti perlaksanaan dan pemantauan projek.
Turut hadir mewakili Arrange Group Sdn. Bhd. ialah Encik Naimmi Mahmad Rejab (Pengarah Urusan), Encik Hamzan Morad (Pengarah Kreatif), barisan kepimpinan tertinggi dan pengurusan kanan EC Team.
#PrezCom