Kuala Lumpur, 24 Ogos 2023, 9.30 pm. Seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang dipercayai bertanggungjawab terhadap panggilan palsu ancaman bom di pusat membeli-belah Aeon Mall Klebang, Chemor petang semalam telah ditahan oleh pihak polis pada jam 9.30 malam tadi, kira-kira lima jam selepas polis menerima laporan daripada pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut. Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek mengaku membuat panggilan dan keterangan yang dikumpul termasuk peranti komunikasi yang digunakan suspek untuk membuat panggilan palsu itu. Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lagi, “Suspek akan direman pada hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, dan dengan tertangkapnya suspek maka kes ini telah berjaya diselesaikan” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Pusat membeli belah, Aeon Mall Klebang, Chemor kecoh semalam selepas orang ramai diarahkan untuk keluar secara tiba-tiba selepas pihak polis mendapat panggilan ancaman bom pada jam 4.50 petang daripada salah seorang pekerja bernama Aishah. Menurut pekerja itu, dia menerima panggilan daripada seorang individu yang tidak dikenali kononnya terdapat ancaman bom di pusat membeli-belah tersebut. Daripada petikan Berita Harian, susulan insiden panggilan palsu itu, pusat membeli-belah tersebut terpaksa menghentikan operasinya pada jam 5.30 petang. Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak yang dibantu Pasukan Bomba telah melakukan pemeriksaan menyeluruh di bangunan dan ke semua premis tetapi tiada sebarang objek yang meragukan ditemui. Malah kawasan di luar bangunan juga disahkan selamat dan semua kakitangan dibenarkan masuk semula pada jam 10.30 malam semalam.

Di dalam video Tik Tok, situasi tersebut dimuat naik dan diviralkan. Rata-rata netizen menyatakan kebimbangan mereka terhadap apa yang berlaku. Keadaan itu hanya menimbulkan ketakutan kepada orang ramai dan menggugat ketenteraman awam. Ramai juga yang memberikan penjelasan bahawa insiden berkenaan sudah selesai dan para pengunjung boleh kembali membeli belah di pusat membeli-belah tersebut seperti biasa bermula hari ini. Pihak pengurusan AEON Co (M) Bhd memaklumkan perkara itu melalui hantaran di Facebook malam tadi. Selepas pengesahan daripada pihak berkuasa tentang keselamatan premis, AEON kembali memberi perkhidmatan kepada pelanggan mereka. Operasi pusat membeli belah tersebut telah berjalan seperti biasa pada hari ini, Khamis (24 Ogos 2023) pada 10 pagi tadi. AEON Co (M) Bhd memohon maaf di atas kesulitan dan amat menghargai kesabaran dan sokongan berterusan oleh para pelanggan mereka.

#PrezCom