
Kuala Lumpur,23 Ogos 2023,4.41 am. Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di arah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya supaya membayar ganti rugi am RM250,000 kepada bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kerana mefitnah berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Azimah Omar yang membenarkan rayuan Abdul Azeez turut memerintahkan Lim selaku responden membayar kos RM70,000 kepada Abdul Azeez. Pada 11 Dis 2020 Abdul Azeez telah membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kerana telah menolak saman fitnahnya terhadap Lim. Mahkamah Tinggi Pulau Pinang juga turut memerintahkan Abdul Azeez untuk membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng. Keputusan dibacakan Timbalan Pendaftar, L Umma Devi bagi pihak Hakim Datuk Rosilah Yop dalam kamar mahkamah. Peguam Guan Eng, Datuk N Mureli, berkata beliau dimaklumkan bahawa saman itu ditolak atas alasan Abdul Azeez gagal mengemukakan bukti bagi kes berkenaan.
Abdul Azeez telah memfailkan saman terhadap Guan Eng pada Mac 2018. Pada ketika itu Guan Eng masih menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang. Abdul Azeez mendakwa Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Feb 2018 semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang. Pada hari yang sama juga telah mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong dasar laut. Abdul Azeez selaku plaintif mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan yang meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.
Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan itu telah menyebabkan Abdul Azeez mengalami kerosakan imej yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam. Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain turut memohon suatu perintah untuk penerbitan balik kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta permintaan maaf awam di dalam akhbar dan media elektronik tempatan. Beliau juga memohon injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan-kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.
Di Mahkamah Tinggi Putrajaya kelmarin, Hakim Azimah berkata responden (Lim) tidak berusaha untuk mengesahkan maklumat itu dan beliau tidak pernah meminta sebarang maklum balas daripada perayu untuk pengesahan. Mengulas lanjut, beliau berkata Lim mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu ketika negara bakal mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018. Responden bertindak demi kepentingan politik beliau dan mempunyai agenda dan kepentingan peribadi,” tambah beliau.
Dalam satu petikan akhbar Berita Harian pada 6 Mar 2018, Guan Eng dilaporkan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Abdul Azeez yang didakwa menerima bayaran RM3 juta oleh Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (Konsortium Zenith) untuk khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan bagi projek terowong dasar laut Pulau Pinang. Peguam utama mewakili Abdul Azeez, Porres Royan berhujah di Mahkamah Rayuan pada 19 Mei lepas bahawa alasan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosilah Yop semasa menerima pembelaan Lim bagi pengakuan justifikasi adalah jelas salah. Beliau berkata hakim gagal memahami bahawa Lim tidak mengemukakan sebarang bukti tentang kebenaran tuduhan bahawa Abdul Azeez telah menerima wang daripada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd berhubung projek itu.
Hakim Azimah berkata, Mahkamah rendah terkhilaf menolak saman Abdul Azeez terhadap Guan Eng dan membenarkan pembelaan Guan Eng bagi justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan yang layak berhubung kenyataannya berkaitan Datuk Seri Abdul Azeez. Hakim itu berkata lagi, pemaju projek Consortium Zenith Construction Sdn Bhd menghantar notis tuntutan (NOD) kepada Abdul Azeez pada Februari 2018 untuk mendapatkan semula wang itu, tetapi kemudian menarik balik NODnya dalam masa seminggu, berikutan maklum balas Abdul Azeez terhadap syarikat berkenaan.
Azimah menambah lagi, responden bukanlah ‘orang awam biasa’ tetapi ahli politik veteran terkenal dan berpengalaman yang bukan orang asing dalam proses litigasi. Justeru, katanya, ia sepatutnya jelas kepada Guan Eng bahawa NOD itu menunjukkan Abdul Azeez tidak bersalah dan tiada percubaan daripada Guan Eng untuk mengesahkan kandungan NOD itu. Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian melalui Zoom, Abdul Azeez diwakili peguam Porres Royan dan Craign Ho, manakala Guan Eng diwakili peguam Datuk N.Mureli dan Felix Lim.
#PrezCom