Kuala

Lumpur, 26 Julai 2023 02:00pm. Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Antarabangsa (International Day for the Conservation of the Mangrove Ecosystem) disambut pada 26 Julai setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut demi kelangsungan pernan serta sumbangannya kepada kesejahteraan masyarakat sejagat. Hutan paya laut adalah ekosistem tropika yang amat unit yang menggabungkan tanah daratan dan hidupan diatasnya dengan lautan. Hutan ini terbentuk di kawasan yang berlumpur di pantai, lagun dan muara sungai yang mengalami air pasang dan surut.

Hutan paya laut ini merupakan ekosistem tropika yang amat unik kerana mengandungi kepelbagaian biologi khususnya bagi pembiakan hidupan marin. Hutan paya laut juga bertindak sebagai zon penanpan bagi melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan tanah, impak pukulan ombak yang kuat dan angin kencang. Terbaru peranan ekosistem hutan paya laut ini menjadi bertambah penting apabila telah dikenalpasti di peringkat dunia sebagai penyerap karbon yang amat efisien.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) hutan paya laut mewakili kurang daripada 0.4% daripada keseluruhan hutan di dunia dan berdasarkan Mangrove Guidebook Southeast Asia pada masa ini Malaysia mempunyai kawasan hutan paya laut seluas 629,038 hektar, iaitu 3.44 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di seluruh Malaysia yang menjadi tempat teduh kepada 42 spesis flora bakau. Walaubagaimanapun usaha bagi melindungan dan memelihara hutan paya laut bukanlah mudah, malah amat mencabar memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun. Kemusnahan hutan paya laut berikutan tekanan pembangunan seperti aktiviti akuakultur, pertanian serta pencemaran tidak terkawal menjadi faktor utama kepada kemusnahan dan kehilangan ekosistem ini. Kadar kehilangan hutan paya laut adalah antara 3 hingga 5 kali lebih tinggi daripada kadar kehilangan hutan global.

Hutan paya laut mula diuruskan secara sistematik di negara ini bermula tahun 1905 di Larut Matang, Perak dan diiktiraf sebagai salah satu model pengurusan hutan paya laut terbaik di dunia. Selain itu 6 daripada 7 tapak RAMSAR di Malaysia terdiri daripada kawasan hutan paya laut berkepentingan antarabangsa terutamanya sebagai habitat unggas air (Important Bird Area). RAMSAR adalah nama yang diberikan kepada sebuah persidangan mengenai tanah lembab berkepentingan antarabangsa yang mempromosikan pemuliharaan dan penggunaan bijak semua tanah lembab. RAMSAR juga merupakan satu simbolik pengiktirafan kepada kawasan tanah lembab yang terurus dengan baik. Nama RAMSAR ini diterima pakai daripada konvensyen yang pertama kali diadakan di bandar RAMSAR Iran pada 2 Februari 1971 dan Malaysia menjadi ahli Konvensyen RAMSAR pada 10 Mac 1995.

Inisiatif memelihara dan memulihara kawasan hutan paya laut dilaksanakan di Malaysia melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran pantai Negara sejak tahun 2005. iaitu selepas tragedi tsunami pada 26 Disember 2004. Sehingga tahun 2022, sejumlah 3,272.32 hektar kawasan pesisir pantai di seluruh negara telah ditanam dengan pokok bakau dan spesies-spesies hutan pesisir pantai terpilih melibatkan penanaman sebanyak 7,196,996 pokok. Pencapaian ini dicapai dengan sokongan dan komitmen pelbagai pihak khususnya kerajaan-kerajaan negeri, NGO dan masyarakat tempatan.

Di peringkat Kerajaan Persekutuan, aspek pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut terus diberikan perhatian dan diperkukuhkan, selaras dengan Rancangan Fizikal Zon Pesisir Pantai Negara II yang dikeluarkan oleh PLAN Malaysia. Pada 11 Julai 2023, Kerajaan Persekutan telah berjaya mewartakan seluas 68.281 hektar kawasan Hutan Paya Bakau Kina Benuwa di Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hutan simpanan kekal (HSK) dan dinamakan sebagai Hutan Simpan Kina Benuwa. Ini merupakan HSK pertama yang diwartakan di Wilayah Persekutuan Labuan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) serta merupakan HSK pertama di Wilayah Persekutuan daripada jenis hutan paya laut. Ini menjadikan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan meningkat daripada 84.62 hektar kepada 152.901 hektar.

Susulan pewartaan HSK baharu ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan terus meningkatkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Labuan dalam pengurusan Hutan Simpan Kina Benuwa. NRECC juga mengalu-akukan sebarang bentuk kerjasama strategik dan penjanaan daripada badan korporat untuk menjalankan aktiviti restorasi di kawasan Hutan Simpan Kina Benuwa dan kawasan hutan paya laut di seluruh Negara

#PrezCom