Sungai Petani 16 Julai 2023 04:00pm. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas melancarkan Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Kedah semalam menegaskan bahawa budaya memaki hamun, mencaci dan memfitnah dan selepas itu memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima dan budaya ini adalah budaya yang harus ditolak oleh rakyat keseluruhannya. Ahmad Zahid Hamidi juga menambah katanya; ‘ setiap parti politik perlu menggunakan fakta untuk menyatakan sesuatu ketika berkempen dan sekiranya kita mempunyai perbezaan pendapat kita harus nyatakan perbezaan pendapat itu dengan akhlak dan bukan dengan cara yang tidak mempunyai ‘akhlak politik’ langsung.”

Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanya sebagai ‘pelawak politik’ juga menyarankan supaya agensi penguatkuasaan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Sanusi berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuatnya yang menyentuh isu berkaitan 3Rs (Race, Religion and Royal) kerana ini menyentuh soal agama, soal raja dan soal bangsa. Ahmad Zahid Hamidi juga mengingatkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain juga telah mengingatkan semua pemimpin parti agar tidak menyentuh isu berkaitan 3R menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, malah katanya Mursyidul Am partinya sendiri, Datuk Hashim Jasin juga pernah menasihatkan agar tidak memainkan isu ini.

Di dalam sesi yang sama Ahmad Zahid juga sempat menasihatkan agar pengundi-pengundi di Negeri Kedah bijak memilih pemimpin mereka kerana katanya; “apa yang kita cari adalah pemimpin yang serious menjaga soal kepentingan dan kemakmuran rakyat, kerajaan yang mempunyai kredibiliti, yang berwibawa dan bukan pelawak politik,”

#PrezCom