
Putrajaya, 12 Julai 2023 04:07pm. Sebuah video berdurasi 23 saat tular di media sosial baru-baru ini berkaitan satu ladang di Sebarang Perai, Pulau Pinang yang menternak babi bersama ayam pedaging didalam satu kawasan yang sama yang dikatakan melanggar Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020. Kegiatan tersebut dipercayai telah di bongkar oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain apabila beliau membuat hantaran ke akaun TikTok miliknya @sophianmohdzain7 pada hari Ahad yang lepas. Ekoran tularnya video tersebut satu Siaran Media telah dibuat hari ini oleh Jabatan Perkhidmatan Veterina (DVS) bagi menjelaskan isu ini.
Bertindak atas aduan, DVS telah memaklumkan bahawa DVS Pulau Pinang telah mengadakan operasi bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi menyiasat akan aduan video yang viral berkenaan di ladang terbabit. Melalui operasi yang dijalankan pada 11 Julai 2023, DVS telah mengesahkan bahawa ladang tersebut menternak babi dan ayam pedaging di kawasan yang sama dan oleh itu telah melanggar Peraturan 19 (1) yang menyatakan bahawa semua spesies haiwan dan unggas lain hendaklah tidak dibenarkan dipelihara di ladang babi.
Menurut DVS ladang terbabit merupakan ladang yang berdaftar dengan DVS tetapi tidak mempunyai lesen untuk beroperasi kerana tidak mematuhi peraturan di bawah pelesenan yang menetapkan semua ladang babi perlu menaiktaraf kepada sistam kandang tertutup dengan ‘zero discharge’ iaitu tiada sisa kumbahan terlepas ke parit awam. Satu kompaun di bawah Enakmen Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2016 telah dikeluarkan kepada ladang tersebut dengan jumlah kompaun sebanyak RM7,500.00 atau denda RM30,000 atau/dan penjara 3 tahun tertakluk kepada Timbalan Pendakwa Raya. DVS juga telah mengeluarkan notis Pengosongan Kandang, Penutupan dan Pemberhentian Operasi kepada ladang tersebut.
Berikutan kejadian tersebut DVS juga telah menyatakan untuk memeriksa semua ladang babi bagi memastikan tiada spesis haiwan dan unggas diternak secara komersil di semua ladang babi. Bagi memastikan dan mengelakkan timbulnya kerisauan dikalangan orang awam pihak DVS telah memohon orang ramai untuk menghentikan pelularan video tersebut.
Berikut adalah kawasan-kawasan ladang ternakan unggas/babi yang berdaftar dengan DVS: https://www.jpvpk.gov.my/index.php/maklumat-lokasi-ternakan-unggas-babi
#PrezCom