
Kuala Lumpur, 7 Julai 2023 11.00am. Pada 17 Mac 2023 mesyuarat jemaah menteri telah bersetuju dengan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori kepada budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati maka hendaklah di hukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali. Berikutan itu pada 3 April 2023 bacaan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat menerusi undi suara. Semalam, Penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) telah dikuatkuasakan dan oleh yang demikian bermula 4 Julai 2023 tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat.
Timbalan Menteri di Jabatan Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, “Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) telahpun menerima perkenan Diraja pada 9 Jun lalu, namun belum berkuat kuasa. Permohonan Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat hanya boleh difailkan selepas terdapat penetapan tarikh kuat kuasa oleh Menteri melalui pemberitahun dalam Warta Kerajaan Persekutuan dan mengikut Subseksyen 1 (2) Akta 846, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah menetapkan 4 Julai 2023 sebagai tarikh akta itu mula berkuatkuasa.
Terdahulu sebelum ini Azalina Othman berkata, “pemansuhan hukuman mati mandatori ini bertujuan menghargai dan meghormati nyawa setiap individu sementara.” Ramkarpal pula menambah, “prinsip asas yang ingin diberi penekanan oleh kerajaan di sebalik setiap hukuman di Malaysia adalah pemulihan banduan agar dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi individu yang berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara setelah selesai menjalani hukuman.”
#PrezCom