
Kuala Lumpur 1 July 2023, 04.21pm. Portal berita BebasNews pada 29 Jun 2023 mendakwa seorang menteri menceroboh ke dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan seorang pelawat negara China yang telah ditahan oleh Jabatan Imigresen dan menteri tersebut telah menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk memarahi Polis Bantuan KLIA dan pegawai imigresen. Portal berita BebasNews juga melaporkan bahawa ini adalah kali ketiga menteri tersebut melakukan hal yang demikian.
Terbaru, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing di dalam hantaran Facebook miliknya mengaku menyerbu masuk ke balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk campur tangan bagi pihak seorang wanita warga China yang ditahan oleh pihak imigresen. Tiong King juga menyatakan beliau bersyukur kerana kehadirannya ke KLIA telah membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara. Tiong King juga turut menjelaskan katanya;
“Seorang pelancong wanita dari negara China yang tiba di KLIA telah di tahan dan dipaksa memberikan sejumlah wang untuk dibebaskan oleh pegawai imigresen yang bertugas. Didalam proses pembebasannya itu seorang yang disyaki bertindak sebagai pengantara telah menawarkan diri untuk membantu proses pembebasan dengan mengemukakan satu pakej iaitu wanita tersebut perlu membayar RM3,000 bagi tiket penerbang pulang ke negara asal, RM3,000 lagi untuk memasuki semula Malaysia dan RM12,000 bagi memproses visa.” Tiong King juga menyifatkan tindakan petugas Imigresen itu sebagai rasuah, salah guna kuasa dan tidak berperikemanusiaan.
Turut menyokong tindakan Tiong King adalah Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun yang memuji tindakan proaktif Tiong King dengan memberikan tumpuan serious terhadap isu pegawai Imigresen di KLIA.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh pula telah mengarahkan tindakan serta merta di ambil bagi memulakan siasatan dan berharap orang ramai memberikan ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus dan meminta orang ramai tidak membuat apa-apa spekulasi yang boleh menggangu siasatan. Sementara itu Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) melalui presidennya, Khairil Nizar Khairuddin menyatakan kekesalan terhadap Tiong King kerana menyiarkan isu dan kritikan terhadap pihak Imigresen di media sosial tanpa terlebih dahulu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan. Tiong King disifatkan sebagai tidak menghormati undang-undang dan tidah seharusnya menggangu tugas penguatkuasaan.
#PrezCom