Johor Baharu, 23 Jun 2023. Pada 22 Jun 2023 portal berita #PrezCom ada menyiarkan kisah seorang penghantar makanan (grab rider) yang menegur dua orang rakyat Singapura yang mengisi minyak Petrol RON95 bersubsidi ke dalam tong berasingan di Stesen pam minyak Bandar Puteri, Johor Baharu.

Susulan video petengkaran yang tular di media sosial itu telah mengakibatkan akaun e-Hailing pemuda penghantar makanan berusia 44 tahun itu disekat. Berbekalkan sikap ‘berani kerana benar’ pemuda tersebut telah menghubungi syarikat e-Hailing tersebut dan mendapati ada individu yang telah melaporkan bahawa dirinya telah mengeluarkan pemutar skru dan mencetuskan pertengkaran. Laporan palsu yang dibuat terhadap pemuda tersebut telah mengakibatkan akaunnya disekat sehingga semalam.

Kisah pemuda malang yang berjiwa merdeka ini telah mendapat perhatian warganet terutama disaluran WhatsApp dan Twitter dimana warganet mula memainkan hashtag #BoikotGrab. Syarikat Grab dikatakan akan berhadapan tindakan boikot sekiranya isu ini terus berlarutan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin telah mengesahkan isu ini dan telah mengeluarkan kenyataan media pada 21 Jun 2023 yang menyatakan kejadian tersebut telah berlaku pada 16 Jun 2023 sekitar jam 8.37 malam di stesen minyak Caltex Sunway Box, Iskandar Puteri, Johor. Pengadu merupakan warga tempatan yang bekerja sebagai penghantar makanan. Perselisihan faham di antara kedua-dua pihak telah berjaya dileraikan oleh polis bantuan Sunway yang turut berada di tempat kejadian.

Terbaru, syarikat Grab telah mengeluarkan kenyataan mempertahankan keputusan syarikat itu menggantung sementara akaun penunggang makanannya itu apabila pihaknya menerima laporan daripada orang ramai berhubung insiden berkaitan keselamatan awam sebagai langkah berjaga-jaga sementara menunggu siasatan. Syarikat Grab juga memberitahu akaun pemuda tersebut telahpun diaktifkan semula.

#PrezCom