
Kuala Lumpur, 2 Jun 2023 7.00pm. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menegur ahli UMNO dan khususnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya ‘Jangan Menembak Kaki Sendiri’. Teguran ini dibuat susulan kritikan Mohd Puad Zarkashi terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang dikritiknya sebagai ‘banyak sangat formula.’ Mohd Puad juga menyifatkan Rafizi Ramli seperti belum bersedia menjadi anggota kabinet. Terdahulu Mohd Puad Zarkashi didalam hantaran Facebook miliknya mendakwa sejak menjawat jawatan Menteri Ekonomi rakyat belum nampak langkah signifikasi yang dibuat oleh Rafizi Ramli untuk ekonomi negara atau sekurang-kurangnya perlu memperkenalkan polisi baharu untuk meningkatkan ekonomi rakyat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin, juga mengeluarkan kenyataan supaya Mohd Puad tidak terlalu gopoh dalam mengeluarkan kenyataan. Beliau juga menyifatkan Mohd Puad cuba membuat provokasi apabila berkata ‘Rafizi Turun, Ringgit Naik.’ Razeef Rakimin memberitahu ada banyak cara lain lagi bagi Mohd Puad untuk mencari populariti.
#PrezCom