Kuala
Lumpur, 30 Mei 2023 10.30pm. Timbalan Perdana Meneri, Datuk Seri Dr Hj Ahmad Zahid bin Hamidi hari ini mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS). Mesyuarat ini berperanan penting dalam menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian inisiatif dan program pembangunan sukan di dalam negara. Ia termasuklah usaha memperkukuhkan kerjasama rentas Kementerian dan pemegang taruh lain bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (sporting nation).

Datuk Seri Zahid berkata, Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) telah menunjukkan penglibatan rakyat Malaysia menurun kepada 48% pada 2022 berbanding 50% pada tahun 2021 dan antara faktor yang menyumbang kepada penurunan ini adalah motivasi kendiri yang rendah, komitmen masa dan keluarga serta kos pembelian peralatan dan caj penggunaan fasiliti sukan yang semakin meningkat. Justeru, usaha bagi membudayakan sukan akan terus diperhebat melalui penganjuran lebih banyak aktiviti sukan di peringkat akar umbi dan pihak kerajaan juga akan mempergiat setiap kementerian bagi memperuntukkan waktu kepada kakitangannya untuk melaksanakan aktiviti sukan dan riadah setiap minggu.

Mesyuarat hari ini turut membincangkan tentang prestasi kontinjen negara di Sukan SEA Cambodia 2023, cadangan penubuhan Malaysia Sports Integrity (MSI) & insiatif membudayakan Sukan Komuniti. Mesyuarat turut memutuskan bagi memastikan negara tidak ketinggalan dan seiring dengan negara-negara yang mempunyai pembangunan sukan yang maju, satu jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) diwujudkan bagi menerajui Pembangunan Bakat Sukan Berprestasi Tinggi.

Selain itu, Datuk Seri Zahid berkata, usaha ini adalah selaras dengan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) yang akan dilancarkan pada 30 Mei 2030 bersamaan dengan Hari Sukan Negara 2022 (HSN2022).

#PrezCom