Kota Kinabalu, 28 Mei 2023.  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah membuat pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2023 pada 23 Mei yang lalu untuk tempoh pelaksanaan selama 7 hari iaitu 3 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 3 hari selepas perayaan. Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Pesta Kaamatan itu berkuatkuasa dari 27 Mei 2023 hingga 2 Jun 2023.

Pelaksanaan Skim ini adalah bertujuan menstabilkan harga barangan semasa permintaan terhadap barangan dijangka akan meningkat semasa menjelang perayaan, semasa perayaan dan beberapa hari selepas perayaan.

Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata; ‘Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2022. Sebanyak 8 jenis barangan dikawal di bawah pelaksanaan Skim ini. Selain itu, 6 jenis barangan daripada kategori ayam dan telur sedang dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayan dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari 2022.

Senarai 8 barang yang termasuk dibawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Pesta Kaamatan 2023 adalah:
1. Kepak Ayam
2. Cili Kering Leper
3. Daging Kerbau Import (India)
4. Bawang Kecil Merah (India)
5. Bawang Putih (China)
6. Babi Hidup (Harga maksumum di peringkat ladang sahaja)
7. Daging babi (perut) dan;
8. Daging Babi (daging dan lemak)

Pihak kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya. Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaunsehingga RM250,000;

(ii) kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
(a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
(b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Kerajaan juga meminta orang awam menyalurkan aduan kepada Kementerian sekiranya didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan melalui:

(i) Whatsapp ke 019- 279 4317 / 019-848 8000;
(ii) Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my;
(iii) Pusat Panggilan 1800 886 800;
(iv) E-mel e-aduan@kpdn.gov.my;
(v) Aplikasi telefon pintar Ez ADU, dan;
(vi) Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) 03-8882 6245 / 6088.

Pengguna juga boleh menyemak senarai Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk Skim ini di peringkat pemborong dan peruncit melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di http://kpdn.gov.my.

#PrezCom