
Kuala Lumpur, 16 Mei 2023 12.30pm. Terbaru, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dilaporkan telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah dan tiga lagi perkataan yang boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian iaitu; ‘Kaabah,’ ‘Baitullah,’ dan ‘Solat.’ Notis penarikan balik rayuan semakan kehakiman tersebut telah difailkan di Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April 2023.
Keputusan kerajaan Anwar Ibrahim menarik balik rayuan keputusan penggunan kalimah Allah ini telah menjadi polimik dan telah mendapat kecaman, mendatangkan kekeliruan dan menimbulkan konflik pelbagai latarbelakang rakyat Malaysia dan antaranya adalah:
- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menuntut pihak kerajaan memberikan penjelasan berhubung penarikan balik rayuan penggunaan Kalimah Allah dalam kitab agama selain Islam kerana menurutnya sebelum ini pada tahun 2008 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli juga didalam hantaran di Facebook miliknya menyatakan keputusan rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah juga bagi menjunjung titah KDYMM Sultan Selangor dan KDYMM Sultan Johor yang telah menitahkan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu untuk membuat rayuan semula bagi keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
- Ketua Penerangan Pemuda Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang mengecam keputusan ini dan membandingkan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin didalam menjaga masalahat ummah dan kesucian agama Islam.
- Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz yang menyifatkan keputusan ini adalah sesuatu yang besar dan sewajarnya diserahkan kepada mahkamah untuk diputuskan.
- Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang dukacita dan terkilan dengan rayuan penarikan balik tersebut dan menggesa pihak kerajaan memberikan penjelasan kerana isu ini secara langsung melibatkan kepentingan umat Islam.
- Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang bukan sahaja memohon penjelasan daripada pihak kerajaan tetapi juga mengemukan soalan adakah Majlis-Majlis Agama Islam Negeri, Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang telah menjadi sahabat mahkamah telah dirujuk sebelum sebarang Tindakan diambil oleh kerajaan. Beliau juga mendakwa penarikan balik secara unilateral ini telah menjejaskan kuasa Sultan terutama Sultan Selangor khususnya kerana telah perkara ini termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa budi bicara sebagai Ketua Agama Negeri di dalam jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, pada tahun 2008 seorang Wanita Melanau bernama Jill Ireland telah memfailkan semakan kehakiman supaya lapan cakera padat (CD) yang di rampas daripadanya di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang pada 11 Mei 2008 di kembalikan kepadanya.
#PrezCom