Puterajaya, 15 Mei 2023 03.03pm. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menahan dua (2) individu (suami isteri) yang disyaki telah melakukan kesalahan menuntut atau menyetujui menerima bayaran tanpa niat untuk membekalkan pakaian yang dijual secara dalam talian pada 11 Mei 2023. Pasangan suami isteri ini telah ditahan di pejabat KPDN cawangan manjung, Perak berhubung penjualan pakaian tidak wujud secara dalam talian semperna Hari Raya Aidilfitri 2023.

Berdasarkan rekod, pihak KPDN telah menerima sejumlah 100 aduan dari seluruh Negara berkaitan dakwaan tersebut dan berdasarkan rekod juga suspek telah menerima wang daripada pelanggan melalui akaun bank syarikat mereka membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit sepanjang pengiklanan yang dibuat secara atas talian melalui akaun Facebook milik suspek.

Susulan penahanan tersebut, suspek telah di hadapkan di Mahkamah Majistret Manjung bagi permohonan reman dan Majistret telah membenarkan tempoh reman empat (4) hari bermula 12 Mei 2023 hingga 15 Mei 2023. Kes di siasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan sekiranya sabit kesalahan tertuduh boleh di denda bawah Seksyen 16 (a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang boleh didenda tidak lebih RM250,000.00 bagi pertubuhan perbadanan manakala jika bukan satu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak lebih RM100,00.00.

Selain itu siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 4, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harga yang dijana daripada aktiviti haram penipuan penjualan secara dalam talian. Sekiranya sabit kesalah di bawah Akta 613 tertuduh boleh dipenjara selama tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesealahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah siber boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian melalui saluran berikut:

i.WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800;
iv. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my);
v. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN, dan;
vi. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.

#PrezCom