Kuala Lumpur, 29 April 2023 2.30am. Persidangan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bersidang jam 11.00 pagi semalam dilapor tidak membincangkan petisyen rayuan pengampunan yang difailkan oleh Najib Razak. Portal Berita Harian, 28 April 2023@6:41pm melaporkan bahawa “petisyen yang difailkan perlu mengikut giliran. Persidangan yang berlangsung semalam hanya membincangkan kes-kes terdahulu yang diterima lebih awal oleh urus setia Lembaga Pengampunan”.

Sementara itu Portal Berita Harian juga melaporkan kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Komunikasi, Khalid Abd Samad bahawa Parti Amanah Negara (AMANAH) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara. Kenyataan Khalid Abd Samad ini didapati bertentangan dengan kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang berkata “…bahawa setiap parti dan individu yang sudah dijatuhkan hukuman masih mempunyai ruang undang-undang mengikut Perlembagaan untuk mereka merayu. Itulah hak bagi setiap rakyat negara kita. Apa jua keputusan Lembaga Pengampunan ia adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi kita serahkan perkara itu kepada perundangan, dalam kata lain biar perundangan menentukan.”

Mengulas isu yang sama selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Pontian semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Hj. Ahmad Zahid bin Hamidi pula menggesa agar semua pihak tidak membuat komen yang tidak sepatutnya berhubung isu pengampunan terhadap Najib Razak dan menyerahkan isu ini kepada kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

#PrezCom