
Kuala Lumpur, 25 April 2023 8.00pm. Norul Iman Abdul Rahman, 43 atau lebih dikenali dengan panggilan Boy Iman yang sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi projek perumahan mampu milik ‘DBI Home’ oleh sebuah syarikat bernama DBI Properties Sdn Bhd sekitar tahun 2017 yang lalu kali ini sekali lagi dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa memperdayakan dalam urusan penjualan ‘booth’ atau penyewaan tapak ‘Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Putra (WTC) Kuala Lumpur minggu lalu.
Selain Boy Iman tertuduh yang turut didakwa di Mahkamah Majistret adalah Nor Azmi Jantan, 49, Norazah Sahud, 51 dan Norzana Rapie@Fafie, 51 tahun. Kesemua mereka didakwa telah memperdaya seorang wanita bernama Siti Wardina Basir, 21 dalam urusan penjualan atau penyewaan tapak membeli belah sehingga mangsa menyerahkan wang sebanyak RM1,500. Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 19 April 2023 pada jam 2.34 pagi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh di hukum penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda. Pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduhdan mengarahkan mereka menyerahkan pasport antarabangsa mereka kepada mahkamah sehingga kes selesai. Mahkamah juga menetapkan 13 Jun 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes
#PrezCom