Kuala Lumpur, 22 April 2023 6.00pm.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah bersama YAM Paduka-paduka Anakanda dan Cucunda hari ini berkenan ke Majlis Santapan Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada jam 10.00 pagi diiringi YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, mantan Perdana Menteri YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri-menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Perwakilan Asing serta kerabat-kerabat Diraja negeri Pahang. Selain itu, antara dif kenamaan yang hadir adalah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim. Pada majlis tersebut yang berlangsung sehingga jam 2.00 petang, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama semua tetamu yang hadir.

Kira-kira 2,000 hadirin turut hadir memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri.

#PrezCom