TikTok adalah salah satu aplikasi media sosial yang mendapat tempat dihati rakyat Malaysia dan berdasarkan statistik awal tahun 2022 pengguna aplikasi TikTok telahpun mencecah seramai 14.59 juta pengguna. Tidak di nafikan TikTok berjaya menjadi medium pemasaran dan penjenamaan yang efektif bagi usahawan dan juga sebagai salah satu platform penyebaran infomasi dan hiburan kepada yang lain dengan sangat pantas dan berkesan. Ini terbukti apabila nama-nama seperti #dr.malar @drmalarss, #ZahiddinAziz, #WeeYunNee @Mekyun, #Kouji serta ramai lagi mula menjadi pempengaruh (influencer) masyarakat hanya dalam tempoh yang singkat.
Di Amerika Syarikat (US) setiap 1 daripada 3 orang rakyatnya adalah pengguna TikTok. Terbaru Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok, Shou Zi Chew memberitahu media bahawa di Amerika Syarikat kini terdapat 150 juta pengguna aktif TikTok dan ini merupakan peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding tahun 2020 yang lalu. Namun kini TikTok berhadapan dengan isu sekatan dan larangan yang datangnya dari Amerika Syarikat.
“Platform anda sepatutnya diharamkan @Your Platform Should be Banned.” Inilah kenyataan yang dikeluarkan oleh Cathy Anne McMorris Rodgers, seorang anggota kongres Republikan, sewaktu membicarakan Ketua Eksekutif (CEO) TikTok, Shou Zi Chew semasa sesi ‘Congressional Hearing’ tentang potensi ancaman aplikasi video pendek yang sangat popular terhadap keselamatan negara Amerika. US kini menggangap TikTok adalah satu ancaman terhadap keselamatan dan privasi rakyat Amerika kerana aplikasi itu kini memiliki sekurang-kurangnya 150 juta data rakyat Amerika dan terus meningkat setiap hari.
Kerajaan Amerika Syarikat yang mendapat nasihat dari Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memberitahu TikTok adalah salah satu senjata agresif yang boleh digunakan oleh kerajaan China terhadap Amerika Syarikat. FBI yang telah menjalankan siasatan terhadap TikTok sejak 17 Mac 2023 yang lalu juga mendakwa aplikasi TikTok digunakan untuk mengintip aktiviti wartawan Amerika. Terdahulu, sewaktu perbicaraan kongress, syarikat ByteDance yang merupakan syarikat induk TikTok ditanya tentang hubungan mereka dengan kerajaan negeri China termasuk sama ada mereka menerima arahan dan melaksanakan arahan dari kerajaan China. Ini adalah kerana syarikat itu adalah milik sayarikat yang berpengkalan di Beijing yang sudah tentunya beroperasi mengikut undang-undang kerajaan negeri China serta terpaksa mematuhi permintaan dan arahan kerajaan China. Sekiranya ini benar maka data rakyat Amerika sudah tentunya berisiko untuk diceroboh pada bila-bila masa. Berikutan itu Kesatuan Eropah (European Commission) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengambil sikap menyekat penggunaan aplikasi TikTok secara separa dari digunakan oleh syarikat korporat dan penjawat awam mereka.
Selain negara Afghanistan dan India yang menyekat penggunaan TikTok secara penuh sebelum ini, Amerika Syarikat bukanlah satu-satunya negara yang mengadakan sekatan bagi penggunaan aplikasi TikTok secara separa kerana negara-negara lain seperti Australia, Belgium, Denmak, Canada, New Zeland, Norway, Taiwan, United Kingdom dan beberapa negara lain juga telah pernah mengadakan sekatan terhadap aplikasi ini tetapi kemudiannya menarik semula sekatan tersebut. Ini juga bukanlah usaha pertama kali Amerika Syarikat bertindak untuk menyekat TikTok kerana sebelum ini sewaktu pentadbiran Trumph usaha ini telahpun dibuat. Cathy Anne McMorris terdahulu sebelum ini juga mendakwa katanya; “today, the CCP’s (Chinese Communist Party’s) laws require Chinese companies like ByteDance to spy on their behalf, that means any Chinese company must grant the CCP access and manipulation capabilities as design feature.” Jadi tidak hairanlah kenapa US begitu mengambil berat terhadap isu ini.
Walaupun masih tidak dapat di pastikan nasib aplikasi TikTok akan datang tetapi berdasarkan senario yang lepas sekiranya Amerika Syarikat ingin melakukan sekatan bagi aplikasi ini tindakan yang akan diambil samalah dengan apa yang terjadi pada syarikat Huawei iaitu dengan memberikan perintah mahkamah supaya aplikasi TikTok di keluarkan ‘Google Play Store’ dan ‘Apple App Store’. Bagi pengguna sedia ada yang telah memiliki aplikasi ini berkemungkinan besar tiada lagi kemas kini aplikasi atau ciri-ciri baharu diperkenalkan yang akhirnya akan menyukarkan pengguna sedia ada untuk terus kekal menggunakan aplikasi TikTok.
Apakah kesan senario ini terhadap usahawan? Mungkin ramai usahawan yang masih tidak pun tahu atau sedar terhadap isu ini namun ringkasnya walauapapun tindakan yang mungkin akan dikenakan kepada TikTok usahawan sepatutnya perlu bersedia dan tidak meletakkan 100 peratus usaha pemasaran, jualan, sebaran maklumat mahupun aktiviti penjenamaan bisnes mereka hanya kepada TikTok sahaja kerana seperti yang kita sedia maklum perubahan teknologi dan gelagat pengguna akan sentiasa berubah-ubah, kalau dahulu aplikasi Instagram, Snapchat dan Clubhouse menjadi pilihan netizen kita ramai pula yang sudah mula beralih dan menumpukan kepada TikTok dan mungkin satu hari nanti TikTok juga akan menerima nasib yang sama seperti SnapChat dan Clubhouse.
Mudahnya selagi teknologi ataupun platform tersebut bukanlah milik kita dan kita hanya sebagai pengguna yang melanggan dan menggunakan secara percuma maka elakan kebergantungan penuh kepada aplikasi atau teknologi tersebut supaya risiko dapat dikurangkan.
Nota: Sekatan penuh bermaksud sekatan dibuat kepada seluruh rakyat negara itu manakala sekatan separa pula bermaksud sekatan hanya dibuat kepada pihak kerajaan dan penjawat awam sahaja.
—–
Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari atau lebih di kenali sebagai Coach Megat adalah seorang Business Coach dan Innovater berpengalaman yang telah banyak membimbing syarikat-syarikat besar seperti Sime Darby, Tenaga Nasional Berhad, Perodua, Telekom Malaysia, Bousted Holding, Serba Dinamik, UEM Edgenta dan banyak lagi syarikat anchor di Malaysia didalam program Pembangunan Vendor. Beliau juga adalah Master Trainer aktif membimbing dan melatih usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) dibawah program SAY LEAD PRO MALAYSIA iaitu semua program di bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.
Aritikel ini adalah sumbangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian PrezCom.
#PrezCom