
“Sila ambil EL/MC. Manakala yang nak resign boleh mass resign pada 1hb April 2023”, ini adalah salah satu bentuk hebahan didalam kandungan di Instagram “Mogok Doktor Malaysia” yang boleh terus dicapai di https://www.instagram.com/mogokdoktormsia/. “Penat, Marah, Sedih dan Kecewa”, itulah antara luahan perasaan pegawai perubatan kerajaan di Malaysia terutama yang berstatus ‘Kontrak’ yang sebelum ini sewaktu COVID19 melanda nama-nama mereka dilaungkan dengan istilah #Frontliners, #WiraNegara #BarisanHadapan dan pelbagai lagi nama-nama keperwiraan. Nama-nama ini dilabelkan khas kepada mereka kerana sedia maklum inilah tanda pengiktirafan global masyarakat dunia terhadap peranan besar mereka sewaktu pendemik COVID19 melanda.
Terbaru satu penganjuran mogok dijangka akan di buat pada 3-5 April 2023 oleh sekumpulan pergerakan doktor-doktor kontrak seluruh negara yang akan bermula Isnin ini 3 April 2023 berikutan isu-isu penjawatan pegawai-pegawai kerajaan yang masih berstatus ‘kontrak’ . Merujuk artikel yang disiarkan oleh Utusan Malaysia 1 April 2023 mogok ini dianjurkan oleh sekumpulan doktor kontrak yang kini berkhidmat di KKM dan tiada kaitan dengan Gerakan Hartal Doktor Kontrak. Di jangkakan seramai 10,000 doktor kontrok di seluruh negara akan menyertai mogok aman nanti untuk menyampaikan mesej jelas kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya dan pihak kerajaan. Gerakan ini juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengunjungi hospital awam atau mana-mana klinik kesihatan pada tarikh mogok di adakan kerana berkemungkinan akan menyebabkan tempoh menunggu lama bagi mendapatkan rawatan keranan ketiadaan pegawai perubatan. Walaupun identiti siapa mereka masih tidak jelas tetapi mesej yang hendak disampai oleh mereka amat jelas dan sangat perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.
Antara enam (6) perkara didalam memorandum yang ingin disampaikan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Menteri Kesihatan Malaysia adalah:
- Menyerapkan semua pegawai perubatan kontrak ke dalam jawatan tetap tanpa sebarang syarat ataupun interview.
- Meningkatkan gaji basic serta kadar oncall pakar perubatan dengan pegawai perubatan. Pegawai perubatan: rm40 sejam, pakar perubatan: rm100 sejam.
- Mengatasi masalah kekurangan pakar perubatan, pegawai perubatan dan pegawai perubatan siswazah dengan segara.
- Mengurangkan khidmat wajib seseorang pegawai perubatan kepada 3 tahun secara automatik tanpa permohonan.
- Mengurangkan waktu bekerja dan oncall untuk pegawai perubatan dan pegawai perubatan siswazah. Oncall tidak boleh melebihi 6 kali sebulan, waktu bekerja tidak melebihi 60 jam seminggu.
- Meluluskan penempatan semula ke wilayah asal selepas 2 tahun berkhidmat di sabah, sarawak, labuan tanpa sebarang syarat.
Sepertimana yang diketahui umum negara kita masih kekurangan doktor dan jururawat di hospital awam dan swasta dan pelbagai inisiatif dibuat bagi menampung isu ini dan antaranya adalah melantik semula pegawai perubatan pakar yang sudah tamat kontrak untuk berkhidmat mengikut keperluan, mempercepatkan pelantikan graduan perubatan secara kontrak tanpa melalui proses temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan pelbagai lagi. Sehingga 31 Disember 2022 terdapat seramai 6,985 pakar perubatan, 52,666 pegawai perubatan dan 69,608 jururawat sedang berkhidmat di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dinegara kita jumlah pegawai perubatan yang sepatutnya disasarkan adakah seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk menjelang tahun 2025 selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Sejak tahun 2017 hingga 2021 seramai 3,386 daripada 29,548 pegawai perubatan lantikan kontrak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meletakkan jawatan dan pada 24 Mac 2023 satu artikel dikeluarkan oleh ‘CodeBlue’ (https://codeblue.galencentre.org/2023/03/24/only-17-of-contract-doctors-absorbed-into-permanent-posts-zaliha/) yang memberitahu hanya 17% iaitu 4,255 daripada 24,548 sahaja doktor lantikan kontrak diserap secara kekal setakat 31 Disember 2022. Sudah pasti isu kekurangan doktor dan jururawat ini akan terus menjadi satu pendemik sekiranya tidak di leraikan dengan baik kerana kita bukan sahaja menghadapi isu kekurangan doktor tetapi berhadapan dengan isu doktor-doktor kontrak yang berhasrat untuk meletakkan jawatan sekiranya isu lantikan mereka tidak diselesaikan.
Bagi menangani isu ini pada 31 Mac 2023, jemaah kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi yang akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara bagi menangani isu-isu yang dihadapi oleh doktor-doktor kontrak ini. Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa juga dalam satu kenyataan berkata “mogok bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik”.
Apa yang pasti #mogokdoktorkontrak bukanlah agenda politik mana-mana parti politik tetapi sebaliknya adalah luahan tentang keperluan pihak kerajaan untuk mengambil maklum dengan serius isu-isu pembelaan hak pegawai perubatan kerajaan berstatus ‘kontrak’. Sepertimana yang kita ketahui sebahagian besar rakyat Malaysia masih bergantung kepada pekhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan sekiranya sektor ini lumpuh sudah tentu ianya akan memberikan kesan langsung kepada majoriti rakyat Malaysia dan akan menimbulkan keresahan dan impak sosial yang besar.
Panggilan-pangilan keperwiraan seperti #Frontliners #WiraNegara #BarisanHadapan tidak membawa sebarang makna bagi mereka sekiranya nasib dan kebajikan mereka tidak terbela dan dengan itu supaya isu ini akan mendapat perhatian pantas, tuntas dan dileraikan dengan bagi tanpa prajudis.
Mogok Doktor Kontrak: https://vt.tiktok.com/ZS8sJVxne/
#JusticeforJuniorDoctors
#JusticeforJuniorDrs
#MogokDoktorKontrak
#PrezCom