Kuala Lumpur, 9 Mac 2023 04:37pm.  Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 11.15 pagi hari ini telah dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan dan setakat hari ini tiada penafian dari pihak SPRM mengenai dakwaan yang beliau akan ditahan dalam masa terdekat. Kehadiranya pagi tadi juga menafikan laporan di di beberapa portal berita yang menyatakan beliau ditahan di padang golf semalam.

Kehadiran Tan Sri Muhyiddin kali ini adalah susulan dakwaan yang dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan dibawah Program Jana Wibawa atau lebih dikenali sebagai ‘Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa’. Terdahulu sebelum ini juga Tan Sri Muhyiddin pada 17 Februari 2023 lalu telahpun memberikan kerjasama sebagai seorang saksi untuk memberikan keterangan bagi siasatan berhubung wang RM300 juta yang disyaki diterima parti itu daripada pekej rangsangan ekonomi COVID-19.

Selain itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai situasi diatas memberitahu, “Tengok kes, apa pendakwaannya, apa pertuduhannya sebelum kita tahu apa keputusan dan setakat ini beliau hanya dipanggil…ini urusan SPRM dan sampai sekarang saya tidak tahu apa akhirnya..” katanya sewaktu merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa dan ini sekaligus juga menolak tomahan yang ini adalah ‘Pendakwaan Politik ataupun Pendakwaan Terpilih’.

Pagi ini satu perhimpunan telah diadakan di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan lebih 200 orang penyokong yang terdiri dari pemimpin BERSATU dan PAS dilihat berkumpul sejak 9.00 pagi dengan laungan “Lawan! Lawan! Lawan! PH! dan Hidup!Hidup!Hidup! Tan Sri!”

Hari ini seperti sudah menjadi satu budaya apabila seseorang pemimpin ditahan untuk membantu siasatan maka satu perhimpunan akan dibuat. Perkataan-Perkataan yang mungkin berbau provokasi dilontarkan tanpa mengambilkira sama-ada ianya menggangu kesejahteraan awam atau tidak. Tidakkah kita tahu bahawa sesi soal siasat ini adalah merupakan salah satu proses undang-undang dan proses undang-undang sepatutnya tidak boleh diganggu. Kita sepatutnya menggunakan saluran yang betul bagi menyatakan pendapat ataupun membuat perubahan dan wardah-wardah ini dengan jelas tersedia seperti pilihanraya umum (PRU), pilihanraya negeri (PRN), menerusi para pemimpin dan wakil-wakil rakyat untuk membawa segala isu dan permasalahan, laporan polis dan seterusnya melalui proses pembelaan / dakwaan menggunakan proses mahkamah.

Perhimpunan-perhimpunan di jalan raya sebenarnya boleh mengancam keamanan hidup masyarakat dan merosakkan imej negara. Meskipun hak untuk berhimpun dan mengadakan perhimpunan aman di jamin dibawah Perkara 10(1)(b) Perlembagan Persekutuan namun menurut Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) pihak penganjur haruslah mendapat kebenaran atau permit dari ketua polis daerah (OCPD) terlebih dahulu sekurang-kurangnya lima (5) hari dari tarikh perhimpunan yang akan diadakan dan sekiranya tidak dibenarkan maka sesiapa yang menghadirinya juga dianggap telah melakukan kesalahan. Sebenarnya tindakan tegas boleh dikenakan terhadap pihak yang sengaja mahu menimbulkan kegusaran awam serta melakukan tindak-tanduk yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian negara.

#MalaysiaMadani
#PrezCom